Permulaan yang baik untuk Zaid Ibrahim
Keputusan Umno bahagian Batu Gajah di Perak untuk turut mencalonkan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim untuk jawatan naib presiden merupakan satu permulaan yang cukup baik untuk peguam berkenaan.
Keputusan Umno bahagian Batu Gajah di Perak untuk turut mencalonkan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim untuk jawatan naib presiden merupakan satu permulaan yang cukup baik untuk peguam berkenaan.
Malah, beliau yang melahirkan rasa terkejutnya dengan pencalonan tersebut adalah antara mereka yang pertama mendapat pencalonan bagi jawatan naib presiden pada hari pertama berlangsungnya mesyuarat Umno bahagian.
Menurut Bernama, Zaid menganggap pencalonan itu sebagai tiket pertama untuk membolehkannya berkempen menjelang pemilihan parti September ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Bharu dijangka disahkan menang tanpa tanding sebagai ketua bahagian berkenaan yang bermesyuarat hari ini, kerana tiada nama lain yang mendapat cukup pencalonan.
Mesyuarat Umno bahagian akan berlangsung selama dua minggu mulai 8 hingga 22 Julai ini. Batu Gajah dan Cheras di Kuala Lumpur merupakan dua bahagian Umno yang selesai bermesyuarat semalam.
Selain Zaid, bahagian Batu Gajah turut mencalonkan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Shahrir Samad dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk bertanding kerusi naib presiden.
Mohd Ali turut mendapat pencalonan bagi jawatan tersebut dari bahagian Cheras. Bagi dua kerusi lagi, Cheras mencalonkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dan mengekalkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Puteri Umno
Sepertimana yang dijangkakan kedua-dua Umno bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan presiden dan Datuk Seri Najib Razak sebagai timbalan presiden.
Sehingga hari ini, empat calon naib presiden, termasuk Zaid masing-masing mendapat satu pencalonan. Seorang lagi calon, Ali Rustam mendapat dua pencalonan manakala Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang mempertahan jawatan tersebut, belum mendapat sebarang pencalonan.
Bagi jawatan ketua pemuda, Datuk Hishammuddin Hussein mendapat 10 pencalonan manakala menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin, juga mendapat 10 pencalonan untuk mengisi jawatan naib presiden.
Bagi Wanita Umno pula, Datuk Seri Rafidah Aziz mendapat 5 pencalonan untuk mempertahankan jawatan ketua pergerakan itu, manakala Datuk Seri Shahrizat Jalil, juga mendapat lima pencalonan bagi jawatan naib ketua.
Persaingan bagi merebut jawatan ketua Puteri Umno juga menarik apabila Noraini Ahmad mendapat lima pencalonan manakala seorang lagi calon, Suraya Yaakob mendapat dua pencalonan.
Suraya (gambar) juga mendapat satu pencalonan untuk jawatan naib ketua. Bagaimanapun Rosnah Abdul Rashid memperolehi empat pencalonan bagi jawatan tersebut, diikuti oleh Bibi Sharliza Khalid (dua pencalonan) dan Azalinda Mohd Rashad (1).

