Talkin untuk Brando (1924-2004)
Pertama kali saya bertemu dengan Marlon Brando ialah pada tahun 1962 di panggung wayang Ruby Theater di Kuala Kalawang, Jelebu. Haram, saya tidak tahu siapa manusia yang benama Marlon Brando ini. Apa yang saya minati ialah gadis-gadis dari kepulauan Tahiti yang hanya bercoli dan berkemban. Gambar gadis-gadis ini dipampangkan di dinding panggung untuk mengiklankan filem
Mutiny on The Bounty
.
Semenjak dari perkenalan di Jelebu itu, saya telah mengekori manusia yang benama Marlon Brando ini. Di Melbourne Australia, saya mula mengenali filem sebagai satu bentuk seni dan bukan sebagai satu bentuk maksiat. Lalu, saya tidak putus-putus ke panggung untuk menonton apa saja yang sedang ditayangkan. Sayangnya, saya sampai agak terlambat ke Melbourne - Godfather (1972) - telah lama berlangsung. Filem ini tidak lagi diputar dipanggung dan sistem video masih belum wujud.
Kenalan saya di Melbourne, seorang anak mahasiswa Malaysia tidak putus-putus mengutuk 'suara halus' Marlon Brando. Saya tidak faham apa makna dan dari mana lawak suara Brando ini muncul. Apakah mungkin 'kritikan/kutukan' ini muncul kerana kekasih anak mahasiswa ini seorang lelaki kacak dari Itali; jadi anak gadis Malaysia ini mengetahui apa itu suaran jantan Itali atau kerana saya bagitu bebal tidak mengetahui siapa Marlon Brando.
Kerana ini keberahian ingin tahu tentang Brando ini telah bermula. Di Beirut pada tahun 1977 saya dapat bertemu Brando di layar besar. Last Tango in Paris (1972) dibuka di Lebanon agak lewat. Kelewataan ini mungkin kerana kesangsian pihak penapis terhadap filem yang dianggap erotik ini. Juga mungkin kerana Lebanon masih lagi 'retak' dalam kancah perang saudara dan menonton filem di panggung bukan satu kerja yang selamat.
Sesiapa yang mempelajari seni lakonan
method
diwajibkan menonton semua lakonan Marlon Brando. Tidak ada aktor
method
yang paling unggul daripada Brando.
Pertama kali saya bertemu dengan Marlon Brando ialah pada tahun 1962 di panggung wayang Ruby Theater di Kuala Kalawang, Jelebu. Haram, saya tidak tahu siapa manusia yang benama Marlon Brando ini. Apa yang saya minati ialah gadis-gadis dari kepulauan Tahiti yang hanya bercoli dan berkemban. Gambar gadis-gadis ini dipampangkan di dinding panggung untuk mengiklankan filem Mutiny on The Bounty.
Semenjak dari perkenalan di Jelebu itu, saya telah mengekori manusia yang benama Marlon Brando ini. Di Melbourne Australia, saya mula mengenali filem sebagai satu bentuk seni dan bukan sebagai satu bentuk maksiat. Lalu, saya tidak putus-putus ke panggung untuk menonton apa saja yang sedang ditayangkan. Sayangnya, saya sampai agak terlambat ke Melbourne - Godfather (1972) - telah lama berlangsung. Filem ini tidak lagi diputar dipanggung dan sistem video masih belum wujud.
Kenalan saya di Melbourne, seorang anak mahasiswa Malaysia tidak putus-putus mengutuk 'suara halus' Marlon Brando. Saya tidak faham apa makna dan dari mana lawak suara Brando ini muncul. Apakah mungkin 'kritikan/kutukan' ini muncul kerana kekasih anak mahasiswa ini seorang lelaki kacak dari Itali; jadi anak gadis Malaysia ini mengetahui apa itu suaran jantan Itali atau kerana saya bagitu bebal tidak mengetahui siapa Marlon Brando.
Kerana ini keberahian ingin tahu tentang Brando ini telah bermula. Di Beirut pada tahun 1977 saya dapat bertemu Brando di layar besar. Last Tango in Paris (1972) dibuka di Lebanon agak lewat. Kelewataan ini mungkin kerana kesangsian pihak penapis terhadap filem yang dianggap erotik ini. Juga mungkin kerana Lebanon masih lagi 'retak' dalam kancah perang saudara dan menonton filem di panggung bukan satu kerja yang selamat.
Saya menunggu masa dan ketika yang agak reda sedikit dari ledakan dan tembakan untuk memberanikan diri agar dapat sampai ke Al-Hamra - pusat kota Beirut. Al-Hamra ialah kawasan membeli-belah dan di sekitarnya ada beberapa buah panggung wayang yang agak anggun. Filem di Timur Tengah sama seperti di Eropah Timur, banyak yang telah dialih bahasa. Tetapi di Al-Hamra ada panggung-panggung khusus yang menayangkan versi asli.
Last Tango in Paris ini menggunakan Bahasa Inggeris dan Peranchis. Filem buatan Benardo Bertolucci ini telah merapatkan saya untuk mendalami lagi pemahaman tentang Marlon Brando. Memang ramai penonton akan berdebar-debar dihasut oleh adegan-adegan erotik Brando dengan Maria Schineeder - aktres comel bergetah dari Paris. Tetapi Last Tango bukan tentang seks tetapi tentang manusia yang bernama Marlon Brando itu sendiri.
Pawang Melayu
Bila saya sampai ke Eropah saya terus menonton kembali semua kerja-kerja lakonan Marlon Brando. Anak muda dari Omaha Nebraska ini pernah diberhentikan dari menjadi soldadu kerana kurang displin. Datang ke New York untuk mempelajari seni lakonan di Actor Studio. Gurunya ialah Stela Adler - pengembang dan pengamal mazhab teknik lakonan method.
Method, dari apa yang saya fahami adalah satu pendekatan di mana si pelakon akan memasukkan watak yang dimainkan ke dalam jasad dan jiwa si pelakon, sebelum melakonkan watak itu. Jika dimelayukan konsep ini, lakonan method ini samalah seperti ilmu 'menurun' yang digunakan oleh para bomoh dan pawang Melayu semasa mengubat pesakit.
Sesiapa yang mempelajari seni lakonan pasti akan diperkenalkan dengan mazhab method. Jika sesiapa yang ingin mendalami atau menganut mazhab ini pasti akan diwajibkan pula untuk menonton semua kerja lakunan Brando. Ini kerana tidak ada aktor method yang paling unggul dalam generasi Marlon Brando selain dari Brando sendiri.
Apa yang kita lihat pada Warren Betty, Jack Nicholson, Robert De Niro, Al Pacino, Harvey Keitel, Dustin Hoffman semuanya mengikuti jalan yang telah direntas oleh gerak lakon Marlon Brando. Tradisi lakonan method yang dibawa oleh Brando berasal dari pentas teater sebelum dibawa ke layar perak.
Tennessee Williams telah menulis sebuah drama pentas A Streetcar Named Desire. Bila drama pentas ini ingin difilemkan, bakal pengarahnya Elia Kazan telah mencadangkan nama Marlon Brando untuk membawakan watak Stanley Kowalski. Ini kerana Elia Kazan telah pernah melihat lakonan pentas Brando. Tetapi Kazan telah memulangkan semua keputusan kepada Tennessee Williams sendiri.
Dari surah yang telah didengar, Brando telah datang menemui Tennesee Williams. Pada petang pertemuan itu, paip air di rumah Tennesse Williams telah rosak. Anak muda yang bernama Marlon Brando ini, sebelum melihat skrip, telah membetulkan paip air yang rosak ini dan seterusnya telah menjadi sejarah.
Jaket kulit hitam
Kemudian diikuti dengan The Wild One ( 1953) kisah keresahan anak-anak muda Amerika dipermulaan era rock n roll. Ini sebelum kesampaian James Dean dan Elvis Presley. Brando adalah Johnny dalam The Wild One - anak muda yang penuh resah dan menentang apa saja di hadapan mereka. Bermotosikal, berberet, bercelana jean dan berjaket kulit hitam - imej yang hari ini telah diangkat sebagai ikon homoseksual.
Pada tahun 1954, Elia Kazan telah mengarahkan On The Waterfront. Kazan telah mengambil Brando sekali lagi. Kali ini Brando membawa watak Terry Malloy bekas peninju yang gagal. Latar belakang filem ini adalah rasuah dan perjuangan kaum buruh di pelabuhan. Kritik sosial dari pengarah Elia Kazan yang berasal dari Turki ini amat jelas dilihat dalam latar filem ini. Elia Kzan seorang komunis pernah dihadapkan ke Jemaah Senet Amerika untuk disoalsiasat kerana melakukan apa yang dipanggil Aktiviti Tidak Amerikan.
Watak Terry Malloy ini telah mendatangkan hadiah Oscar kepada Brando. Dengan segak berdasi dan bergaya, Brando telah datang untuk menerima anugerah ini. Tetapi semuanya berubah dua puluh tahun kemudian. Apabila Brando memenangi kali kedua hadiah Oscar dengan watak Don Vitto Carleone dalam Godfather (1972). Brando telah menolak hadiah ini. Dia telah menghantar seorang anak gadis Red Indian untuk 'berceramah' mengutuk Holywood.
Untuk saya manusia Brando yang dimainkan oleh Marlon Brando ini cukup mengasyikkan. Dan terlalu amat susah untuk diberikan satu kata noktah penamat yang saheh tentang siapa sebenarnya Marlon Brando ini. Saya telah berulangkali menonton Last Tango in Paris. Ini kerana filem ini telah menggunakan beberapa kisah kehidupan Marlon Brando sendiri. Watak dalam Last Tango ialah seorang lelaki Amerika, yang pernah jatuh cinta dengan wanita dari Tahiti, juga suka mempermainkan wanita dan anak kepada seorang pemabuk yang dibesarkan diperkampungan di Nebraska - ini adalah kisah benar tentang Marlon Brando.
Last Tango memang dibuat khusus untuk dilakonkan oleh Brando tetapi ianya bukan filem biography Brando.
Saya pernah membaca satu kenyataan Marlon Brando yang bagitu marah sekali dengan pengarah komunis dari Itali ini. Brando dikatakan enggan menonton Last Tango in Paris. Dari omong-omong Brando yang saya baca, jika ditakdirkan Brando bersua dengan Bertolucci, pasti Brando akan mencekik leher pengarah ini sehingga mati. Nah! Inilah Brando, tidak kita ketahui di mana kedudukan sebenarnya. Apakah dia sedang berlakon atau dia berkata benar.
Semasa mudanya Marlon Brando amat kacak. Dia diminati oleh perempuan dan lelaki. Mempunyai kekasih kiri dan kanan. Pernah disurahkan Marlon Brando juga seorang biseksual yang mencintai lelaki dan perempuan. Nama Christian anak lelaki Brando yang tertua itu adalah juga nama bekas kekasihnya, seorang lelaki dari kota Paris.
Christian, anak lelaki Brando ini jugalah yang akhirnya di penjara 10 tahun kerana membunuh kekasih adik perempuannya. Dua tahun kemudian anak gadis Brando yang kematian kekasih ini pula membunuh diri. Semua ini adalah beban kehidupan yang dihadapi oleh Godfather Marlon Brando.
Anti-Aparteid
Semua ini mencelarukan dunia tentang siapa sebenarnya Brando ini. Di mana dia berdiri. Di dunia nyata atau terus berlakon. Pasti ada serpihan politik kiri yang menyelinap masuk ke jasad Brando. Kenapa tidak, Elia Kazan dan Bernardo Bertolucci adalah penganut fahaman komunis. Lihat bagaimana Brando membantah ke atas ketidakadilan yang dilakukan kepada penduduk asal Amerika. Juga dalam Dry White Season, sebuah filem tentang anti-Apartheid, Marlon Brando telah berlakon dengan percuma, berbanding dengan 14 juta dollar yang dimintanya untuk muncul tidak sampai lima minit dalam Superman.
Jangan lupa juga Brando telah mengarahkan One-Eyed Jack ( 1959), sebuah filem bergenre western. Hanya sebuah ini sahaja filem arahan Brando. Hari ini One-Eyed Jack telah dijadikan filem 'cult'. Bila saya melihat filem ini, saya kehairanan kerana tidak pernah saya menonton sebuah western yang berlatarkan laut terbentang tetapi ini filem western arahan Marlon Brando dan bukan arahan Clint Eastwood.
Di sekolah filem, saya dan kawan-kawan sering berlabon tentang Marlon Brando. Bila kami membincangkan Apocalypse Now (1979), saya berpendapat bahawa Marlon Brando wajib mati awal seperti James Dean dan John Lennon. Saya merasa amat kecewa kerana Marlon Brando telah mengikut jejak langkah Elvis Presley untuk menjadi gemuk lagi boroi. Imej Johnny Boy tahun 50-an kadangkala dilangkahi oleh imej boroi Brando tahun 90-an.
Pernah saya terbaca bagaimana semasa membuat sebuah filem di Queensland Australia pada tahu 90-an Brando telah datang ke Australia secara menyorok untuk mengelakkan orang ramai dari melihat Brando yang telah menjadi bagitu boroi.
Semasa Francis Ford Capolla membuat Apocalypse Now di Filipina, isteri Capolla sendiri telah membuat sebuah filem dokumentari tentang pembuatan filem ini. Dokumentari ini telah memperlihatkan pelbagai kerenah Brando sebagai aktor. Semasa mudanya Brando sering meminta digambari berulang-ulang kali kerana dia mahukan satu lakonan yang cukup sempurna. Bila dia berumur Brando telah menjadi seorang pelakon yang malas.
Dalam Apocalpyse Now bukan sahaja Brando tidak membaca nobel Hearth of Darkness yang dipadankan untuk filem ini, malah Brando langsung tidak mengetahui apa yang harus dilakukanya. Di Filipina. Brando dan Capolla telah bertegang leher semasa penggambaran filem ini walaupun mereka telah berkerja dengan jayanya dalam Godfather. Capolla pula telah menjual nama Brando untuk mengiklankan filem ini, walaupun Brando hanya muncul tidak lebih daripada 15 minit di babak akhir filem ini.
Capolla diberitakan marah kerana Brando langsung tidak dapat mengingati kata bualnya. Brando juga marah kerana dia tidak tahu apa yang wajib dilakukan. Untuk menyelesaikan masalah ini semua kata bual Brando telah ditulis dengan huruf besar dan diletakkan di hadapan Brando agar dapat dibaca sambil dia berlakon. Ini mungkin bukan lagi lakonan method tetapi lakonan hidup Marlon Brando.
Tawar diri
Hari ini pasti ramai penulis skrip, bakal penulis skrip atau telahpun tersedia sebuah skrip di Holywood untuk dijadikan filem tentang enikma riwayat hidup Marlon Brando. Siapa yang akan melakonkan Brando dan siapa pula pengarahnya, tidak dapat saya ramalkan. Pasti ramai pelakon dan pengarah yang ingin menawarkan diri.
Bila Marlon Brando menjadi arwah minggu lepas saya teringat kembali kepada kawan saya di Melbourne. Barulah saya tahu bahawa ' suara halus' yang dimaksudkan itu ialah suara romantik Terry Malloy. Suara Terry Malloy ini pula megingatkan saya kepada suara Don Carleone - suara Godfather yang ke hari ini tidak ada sesiapa yang dapat menandingi lakonan Brando.
Berita kematian Marlon Brando ini mengingatkan kembali kepada gadis berkemban yang gambarnya terpampang di panggung wayang Ruby Theater pada tahun 1962 dahulu. Rupa-rupanya gadis itu ialah Tarita yang akhirnya menjadi isteri Brando yang ketiga.
Mungkin kisah hidup Tarita dengan lelaki kacak lagi boroi dan memboroikan ini akan membuka babak baru untuk kita semua memahami lakonan method hidup Marlon Brando. Talkin untuk Marlon Brando.

