Pergerakan Pemuda Umno Cheras menjadi bahagian pertama yang mencalonkan menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno Malaysia.

Keputusan sebulat suara untuk mencalonkan Khairy bagi jawatan tersebut dibuat dalam mesyuarat pergerakan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Khairy yang juga ketua penaja pergerakan Pemuda Umno bahagian Rembau sebelum ini disebut-sebut bakal memegang tersebut selepas beberapa exco Pemuda Umno yang sebelumnya bercadang bertanding jawatan itu, telah menarik diri.

Khairy dijangka membuat pengumuman menerima pencalonan tersebut dalam satu sidang akhbar khas pagi Sabtu di pejabat Pemuda Umno Rembau, Negeri Sembilan.

Manakala mesyuarat Pemuda Umno bahagian Rembau dijadual akan berlangsung di Kelab Golf Tuanku Jaafar di Seremban pada jam 8 malam Jumaat ini.

Tarik diri

Jawatan naib ketua Pemuda Umno menjadi kosong selepas penyandangnya sekarang, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir Datuk melepaskan jawatannya kerana melebihi had umur 40 tahun.

Berikutan itu, ketua penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan tersebut.

Selain Azimi yang merupaka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bandar Baharu, tiga lagi ahli exco pergerakan tersebut turut menyatakan kesediaan mereka untuk dicalon bagi bertanding jawatan yang sama.

Mereka ialah Datuk Norza Zakaria, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Datuk Abdul Hamid Nazahar.

Bagaimanapun, selepas Pemuda Umno Perak menyatakan sokongan terbukanya kepada Khairy untuk menyandang jawatan tersebut, kesemua mereka telah menarik diri.

Berikutan itu, Khairy dijangka mendapat sokongan sebulat suara dari kesemua 191 bahagian Pemuda Umno yang mula bermesyuarat hari ini.