'Timbang serius 30% wanita calon p'raya'
Diterbitkan: Dec 8, 2014 7:52 AM | Dikemas kini: Dec 8, 2014 10:15 AM
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu parti politik di negara ini lebih serius untuk menetapkan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menjadi calon pilihan raya pada masa depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata ini kerana peratusan wanita yang menjadi calon pilihan raya kini masih rendah berbanding negara lain seperti Filipina dan Singapura.
Bagaimanapun, beliau berkata secara keseluruhannya, terdapat perkembangan memberangsangkan mengenai perkara tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), apabila jumlah calon wanita yang bertanding meningkat kepada 168 orang, berbanding 120 orang pada PRU12.
"Jumlah kerusi yang dimenangi wanita juga meningkat kepada 81 kerusi berbanding hanya 63 kerusi pada PRU12," kata Azizah menjawab soalan asal Senator Datuk Noriah Mahat pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Noriah ingin tahu pelan jangka panjang dan jangka pendek yang dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan lagi penglibatan wanita dalam bidang politik negara.
Azizah berkata untuk memastikan kesinambungan itu, parti politik yang merupakan pemegang kepentingan utama, perlu terus mengambil perhatian dan melaksanakan strategi serta program yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.
"Kesediaan, komitmen dan keyakinan pemimpin-pemimpin parti politik dalam membuka lebih banyak ruang dan peluang di peringkat 'entry point' akan meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang politik, dan seterusnya sebagai calon dalam pilihan raya serta Ahli Dewan Negara," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan melakukan pelbagai langkah termasuk mengadakan latihan kepekaan gender kepada ahli politik atau individu yang cenderung kepada politik pada tahun 2015.
Di bawah latihan itu, kementerian bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi pelaksana lain di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Wanita untuk mengadakan program-program bersesuaian, katanya.
- Bernama

