Parti KeADILan Nasional hari ini menghabiskan masa sehari mesyuarat agung keduanya membahaskan usul penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia dalam keadaan berhati-hati dan kekhuatiran.

Seramai enam perwakilan yang membahaskannya bagaimanapun menyokong usul penggabungan tersebut.

Usul memberikan mandat kepada pemimpin KeADILan untuk berunding selanjutnya dengan PRM kemudiannya diluluskan sebulat suara petang ini.

Pagi tadi, usul itu dibentangkan oleh anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, dalam perbahasan hari kedua ini, mesyuarat juga meluluskan sebulat suara usul tergempar dari Pergerakan Pemuda yang dibangkitkan dalam mesyuarat mereka semalam.

Usul itu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, ditangkap dan ditahan atas dakwaan salah guna kuasa dan menghalang proses penyiasatan rasuah.

Usul ini berasaskan keterangan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafie Yahya, ketika perbicaraan kes kedua bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu.

Anwar telah membuat laporan polis sehari selepas keterangan itu dan juga mendesak polis serta Peguam Negara bertindak segera terhadap Perdana Menteri.

Mesyuarat KeADILan itu juga mendesak "tribunal siasatan diraja" ditubuhkan bagi menyiasat "secara penuh" kes-kes seumpama itu yang didakwa dilakukan oleh Dr Mahathir.

Perwakilan Perlis berkata, "kita tidak mahu apabila PRM menyertai KeADILan, kita menghadapi masalah yang lebih besar." Beliau juga bimbang partinya akan turut dipandang buruk akibat serangan Barisan Nasional terhadap PRM.

Tiga perwakilan yang membahaskannya pada sesi pagi meminta KeADILan meneliti secara teliti penggabungan ini. Wakil Kelantan mempersoalkan apakah "perjuangan PRM yang akan dipertahankan."

Wakil Negeri Sembilan pula berhujah dua parti itu harus memikirkan kecenderungan pengundi, bukannya hanya soal kepimpinan parti dalam langkah penggabungan.

Sementara wakil wanita dari Selangor mengingatkan bahawa perhubungan yang baik dengan bahasa penuh kiasan. "Tidur sebantal pun, kemudian mata lebam," katanya disambut tepukan dan ketawa perwakilan.

Perwakilan wanita ini merujuk perhubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelumnya tetapi berakhir dengan krisis besar Umno dan negara.

Naib Presiden Tian Chua selepas itu menggulung perbahasan dengan mengingatkan bahawa PRM merupakan sebuah parti yang "sanggup duduk semeja" jika dibandingkan PAS dan DAP.

Beliau juga berpesan agar ahli parti tidak terlalu bimbang diserang media BN dalam isu tersebut.