Semoga berjaya Tengku Razaleigh!
Warga emas Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tiba-tiba membuka mulut menyatakan seleranya untuk kembali ke saf kepimpinan utama parti itu. Beliau yang "tidur" sejak empat tahun lalu, bangkit dari lenanya dengan menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang "sesuai" dengannya dalam pemilihan agung parti itu September depan.
Bangunnya Ku Li turut membuka mata pemimpin-pemimpin Umno lain. Malah, ada yang melatah kerana beranggapan Ku Li mahu mencabar jawatan nombor satu atau nombor dua dalam parti. Ada yang menganggap putera istana Kelantan itu cuba menongkah arus melawan keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang telah menetapkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Malah, ada yang membidas bekas Menteri Kewangan itu dengan menyifatkan tawaran beliau untuk berkhidmat kepada parti itu sebagai tidak lebih dari satu gimik untuk mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa dirinya masih wujud dan hidup.
Lebih keras daripada itu, ada yang menganggap Ku Li sebagai sudah tidak relevan lagi, terutamanya ketika Umno pusat dan Umno Kelantan sudah kembali diterima oleh rakyat.
Oleh itu, Ku Li diminta duduk diam-diam, tiada jawatan yang dianggap sesuai untuknya. Kecuali Datuk Shahrir Samad sahaja yang masih merasakan Ku Li masih berguna untuk Umno. Itupun sekadar di peringkat jawatan naib presiden.
Warga emas Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tiba-tiba membuka mulut menyatakan seleranya untuk kembali ke saf kepimpinan utama parti itu. Beliau yang "tidur" sejak empat tahun lalu, bangkit dari lenanya dengan menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang "sesuai" dengannya dalam pemilihan agung parti itu September depan.
Bangunnya Ku Li turut membuka mata pemimpin-pemimpin Umno lain. Malah, ada yang melatah kerana beranggapan Ku Li mahu mencabar jawatan nombor satu atau nombor dua dalam parti. Ada yang menganggap putera istana Kelantan itu cuba menongkah arus melawan keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang telah menetapkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Malah, ada yang membidas bekas Menteri Kewangan itu dengan menyifatkan tawaran beliau untuk berkhidmat kepada parti itu sebagai tidak lebih dari satu gimik untuk mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa dirinya masih wujud dan hidup.
Lebih keras daripada itu, ada yang menganggap Ku Li sebagai sudah tidak relevan lagi, terutamanya ketika Umno pusat dan Umno Kelantan sudah kembali diterima oleh rakyat.
Oleh itu, Ku Li diminta duduk diam-diam, tiada jawatan yang dianggap sesuai untuknya. Kecuali Datuk Shahrir Samad sahaja yang masih merasakan Ku Li masih berguna untuk Umno. Itupun sekadar di peringkat jawatan naib presiden.
Lalu, ketua penaja Umno bahagian Johor Baru itu mencadangkan Ku Li menawarkan diri secara jelas untuk bertanding jawatan nombor tiga dalam parti itu. Beliau yakin, bekas Presiden parti Melayu Semangat 46 itu tidak bermasalah untuk mendapat kuota pencalonan yang diperlukan.
Calon alternatif
Sebenarnya, memang itulah yang dikehendaki oleh Ku Li. Beliau mahu seseorang melakukan "sepak mula" bagi perlawanan "politiknya" kali ini. Sekurang-kurangnya, kenyataan Shahrir itu telah membuka mata ahli-ahli Umno bahawa terdapat seorang lagi calon altenatif untuk jawatan naib presiden.
Tumpuan ahli-ahli Umno kini hanya tertumpu pada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Mohd Isa Samad, Datuk
Seri Rais Yatim, Datuk Mustapa Mohamad dan Datuk Zaid Ibrahim. Kini ahli-ahli Umno mempunyai pilihan yang lebih besar dan mungkin yang lebih baik.
Ku Li memang sedar dan arif bahawa jawatan nombor satu dan nombor dua dalam Umno bukan untuknya ketika ini. Gandingan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak terlalu kuat. Ia tidak mungkin boleh dipecahkan kecuali oleh kedua-dua pemimpin itu sendiri. Jadi maksud sebenar "jawatan yang sesuai" yang disebut oleh Ku Li itu ialah naib presiden. Beliau mengidam kerusi yang dikosongkan Najib.
Cuma persoalannya sekarang, adakah Ku Li masih bertenaga, berpengaruh dan mampu mendapat 19 pencalonan yang diperlukan bagi melayakkan dirinya menyertai perlumbaan "Formula One Umno" ini?
Adakah bahagian yang berani dan sudi mencalonkan seorang pemimpin yang sudah sekian lama tersisih dari arus perdana parti dan kerajaan? Sedangkan di negerinya sendiri, pengaruh beliau dikatakan sudah banyak terhakis, bagaimana pula di tempat lain?
Ketika Umno sedang bermasalah pada tahun 2000 dulupun, Ku Li gagal mendapatkan kuota pencalonan untuk jawatan naib presiden. Jadi bagaimana pula dalam keadaan Umno yang begitu mantap sekarang? Pada pemilihan tahun 2000 Ku Li hanya meraih 17 pencalonan, kurang satu daripada kuota yang diperlukan.
Bahagian manakah yang akan melakukan"sepak mula" untuk Ku Li? Gua Musang, Pasir Mas, Tanah Merah, Kemaman, Jelebu, Putrajaya, Permatang Pauh atau Johor Baru?
Perhimpunan agung
Ku Li tidak boleh mengharapkan bahagian-bahagian Umno di Kelantan untuk menyokong dan berkempen untuknya lagi. Barisan pemimpin Umno negeri itu sudah diterajui oleh orang baru yang kesetiaan mereka kini tertumpu pada Datuk Mustapa Mohamad.
Malah, orang kuat Ku Li, Datuk Ibrahim Ali juga sudah lenyap dari Umno. Jadi siapakah hendak diharapkan oleh Ku Li? Datuk Hashim Safin? Ahmad Shabery Chik?
Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk Ku Li kembali ke persada kepimpinan Umno dalam pemilihan parti September ini kerana di dalam politik, apa sahaja boleh berlaku. Kawan boleh menjadi lawan dan begitu juga sebalik. Namun secara realitinya, ketika ini, bukan sahaja peluang Ku Li menang tidak ada, malah untuk melayakkan diri untuk bertanding juga amat tipis.
Kerana apa? Sebab di dalam Umno, manusia seperti Shahrir tidak ramai. Hampir 99 peratus perwakilan Umno sama ada di peringkat bahagian atau perhimpunan agung, adalah mereka yang menyertai Umno kerana "survival". Mereka bukan menyertai parti kerana idelisme, mereka bukan pejuang tetapi kontraktor, tokoh korporat, professional dan orang yang cari makan menerusi Umno.
Kelompok manusia seperti ini lebih mementing perut, "survival" diri sendiri. Apabila begitu keadaannya, maka mereka lebih cenderung untuk memilih calon-calon yang boleh memberi habuan kepada mereka. Mereka lebih rela menjadi Pak Turut. Calon yang berkedudukan dan berjawatan, akan lebih diutamakan. Calon yang berada di luar kerajaan akan dianggap tidak relevan.
Ahli-ahli Umno hanya akan memilih calon "bebas" seperti "Mike Tyson" (Muhd Taib), yang berlaku pada tahun 2000 kerana mereka tiada pilihan. Mereka akur pada isyarat yang dihantar oleh Umno bahagian Kubang Pasu. Ketika itu, Kubang Pasu yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mencalonkan Muhyiddin, Najib dan Mike Tyson untuk jawatan naib presiden.
Namun, pada tahun ini, dirasakan Umno bahagian Kepala Batas dan Pekan dijangka dikecualikan daripada membuat pencalonan untuk jawatan berkenaan - untuk bersikap adil kepada semua bakal calon. Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi memutuskan perkara tersebut.
Pilihan perwakilan
Jadi, apabila tiada isyarat dari bahagian yang diterajui oleh Pak Lah dan Najib, ramai pemerhati politik berpendapat ahli-ahli Umno akan lebih bebas, berani dan terbuka untuk membuat pencalonan. Adakah ini bermakna senario pemilihan jawatan naib presiden akan berubah?
Mungkinkah para perwakilan akan mengubah "trend" pemilihan mereka? Lari dari "status quo" dan beralih kepada calon-calon "bebas" seperti Mike Tyson, Ku Li dan Zaid Ibrahim (diandaikan ketiga-tiga mereka berjaya mendapat pencalonan yang cukup). Atau mereka lebih mementingkan calon-calon yang berjawatan dalam kerajaan?
Ini akan terus menjadi teka-teki. Isyarat awalnya akan kita ketahui pada hujung minggu ini apabila mesyuarat bahagian bermula. Namun, ramalan awal para Pak Nujum Umno telah merumuskan perebutan dalam jawatan naib presiden sebenarnya hanya untuk dua kerusi sahaja. Kerusi yang dikosongkan oleh Najib dan yang masih diduduki oleh Mike Tyson.
Kedudukan Muhyiddin dirasakan sukar digugat. Beliau sudah hampir pasti akan terpilih semula kerana dianggap sebagai orang kuat pemangku Presiden dan telah membuktikan kewibawaannya.
Kedudukan Mike Tyson pula agak rapuh kerana beliau semakin terpinggir dari arus perdana parti. Tiadanya nama beliau dalam senarai ahli Parlimen pada pilihanraya umum lalu dan tergugurnya beliau dari jawatan setiausaha agung parti, dikatakan telah menjejaskan peluangnya kali ini.
Malahan "persaingan" antaranya dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam Umno Selangor, juga dikatakan telah menggugat kedudukannya. Kalau benar Mike Tyson akan tersingkir, siapa pula bakal mengisi kekosongan itu? Kalau dihitung dari segi pengalaman dan kredibiliti, tentulah Shahrir, Ku Li dan Rais dikira paling layak.
Namun, pada ketika ini adalah terlalu awal untuk dibuat sebarang jangkaan. Selepas hujung minggu ini, gambaran akan semakin jelas. Bermulanya mesyuarat bahagian Khamis ini, baru dapat kita congak siapa bakal menyertai sirkit "Formula One Umno" itu.
Mampukah Ku Li membuat kejutan? Penulis berpendapat agak sukar bagi beliau kerana ahli-ahli Umno sekarang bukan kelompok yang suka bernostalgia seperti dulu. Sejarah dan kenangan lama tidak boleh dijadikan modal untuk memancing undi lagi.
Sekarang adalah zaman "survival". Cerita dogeng hanya menjadi kenyataan dalam Euro 2004, tetapi tidak dalam Umno. Walauapapun, "good luck" Ku Li.

