Bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mungkin telah termasuk "perangkap sendiri" apabila beliau menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan tinggi Umno dalam pemilihan parti September ini.

"Saya difahamkan bahagian-bahagian Umno dijangka mencalonkan Ku Li bagi jawatan naib presiden sebagai 'menguji' sama ada beliau benar-benar ikhlas apabila menyerahkan kepada mereka untuk menentukan kedudukannya dalam parti," kata seorang pemimpin Umno dari Kelantan.

"Sekiranya beliau memperolehi pencalonan yang mencukupi untuk jawatan naib presiden, tetapi menolaknya, sudah pasti beliau akan dianggap cuba bermain politik...," tambahnya.

Menurutnya, Ku Li layak menyandang jawatan tersebut kerana dulupun, beliau adalah naib presiden Umno, ketika beliau menentang Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden pada 1987.

"Lagi pula, beliau pernah tewas dua kali kepada Tan Sri Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden...jadi jawatan tertinggi terakhir yang pernah disandang oleh Ku Li adalah naib presiden," katanya.

Oleh itu, beliau menolak anggapan sesetengah pihak bahawa Ku Li telah meletakkan ahli-ahli dalam keadaan yang 'serba-salah' kerana tidak menyatakan jawatan yang mahu ditandinginya.

Berikutan itu, tegasnya, timbullah spekulasi kononnya Ku Li mahu bertanding jawatan presiden menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tidak serius

"Sebenarnya, Ku Li sendiri yang akan serba-salah jika hanya menerima cukup pencalonan untuk jawatan naib presiden, tetapi menolaknya. Ini pastinya ahli-ahli parti akan membuat pelbagai telahan mengenai niat sebenar beliau....," tambahnya.

Sebaliknya, tambah beliau, ahli-ahli Umno akan menjadi serba-salah seandainya Ku Li menyatakan secara khusus hasratnya untuk jawatan presiden atau timbalan presiden.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Umno dari Selangor menyifatkan Ku Li tidak serius walaupun beliau secara terbuka telah menyatakan kesediaannya untuk dicalon bertanding jawatan tinggi parti.

"Saya rasa ianya lebih merupakan satu isu bermusim...setiapkali tibanya pemilihan parti, Ku Li dikatakan akan bertanding jawatan tinggi parti. Yang bezanya, kali ini Ku Li kata, kalau cukup pencalonan dia akan bertanding, tapi dia tak kata jawatan apa," kata pemimpin Umno itu.

"Kerana itulah, Tengku Razaleigh tidak menyatakan secara khusus jawatan yang mahu ditandinginya. Bagi saya, beliau hanya mahu menguji 'kedudukannya' di hati ahli-ahli Umno.

"Saya tidak yakin beliau mampu mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan presiden ataupun timbalan presiden. Kalau untuk naib presiden, mungkin boleh...," tambahnya.

Mengikut kouta yang ditetapkan, seseorang calon perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian untuk bertanding jawatan presiden, 20 peratus (timbalan presiden), 10 peratus (naib presiden) dan 5 peratus untuk kerusi Majlis Tertinggi.

"Walaupun kesemua 14 bahagian di Kelantan mencalonkannya untuk jawatan presiden atau timbalan presiden, ianya masih jauh daripada mencukupi...tapi kalau bagi jawatan naib presiden, pastinya ia akan membantu Ku Li mendapatkan pencalonan yang mencukupi...," katanya.

Pada pilihan parti yang lalu Ku Li berjaya mendapat 16 pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden and satu pencalonan untuk jawatan timbalan presiden. Kedua-duanya tidak mencukupi bagi melayakkan beliau bertanding. Kini beliau adalah ahli MT yang dilantik.