Hanif Basree bebas daripada tuduhan bunuh Noritta
Jurutera Hanif Basree Abdul Rahman yang dituduh membunuh eksekutif pembangunan perniagaan Noritta Samsudin dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari terakhir pendakwaan kes itu.
Hakim berkata mahkamah tidak berhak untuk memanggil pembelaan hanya untuk memuaskan hati atau atas dasar ingin mengetahui apakah ceritanya.
Jurutera Hanif Basree Abdul Rahman yang dituduh membunuh eksekutif pembangunan perniagaan Noritta Samsudin dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari terakhir pendakwaan kes itu.
Hakim Datuk Abdull Hamid Embong berkata pihak pendakwaan telah gagal mengemukakan bukti yang cukup untuk mewujudkan kes prima facie terhadap jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam itu.
Hanif Basree, 36, dituduh membunuh Noritta, 22, di Kondominium Puncak Prima Galleria di Sri Hartamas, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 5 Dis tahun lalu.
Menurut Bernama, dalam penghakiman bertulis setebal 23 muka surat, Abdull Hamid berkata mahkamah tidak akan memanggil seseorang tertuduh semata-mata untuk mendengar versinya terhadap cerita yang telah dimajukan oleh pihak pendakwaan.
Katanya, di sisi undang-undang, bukan menjadi beban bagi seorang tertuduh mengemukakan naratifnya terhadap apa yang berlaku.
"Beban pembuktian kes ditetapkan ke atas pihak pendakwaan sepanjang perjalanan kes perbicaraan di sisi undang-undang," katanya.
Keterangan bersumpah
Abdull Hamid berkata mahkamah pula tidak berhak untuk memanggil pembelaan hanya untuk memuaskan hati atau atas dasar ingin mengetahui apakah ceritanya.
Hanif Basree hanya akan dipanggil untuk membela diri jika nyata ada kes prima facie terhadapnya dan itupun tidak dimestikan untuk memberi keterangan bersumpah atau berkata apa-apa pun, jika itu jadi pilihan, katanya.
Di tahap kes pendakwaan, Abdull Hamid berkata jika seseorang itu dituduh membunuh maka pihak pendakwaan mesti membuktikan yang telah berlaku satu kematian dan dalam kes ini, kematian Noritta jelas terbukti dan nexus atau pertalian tertuduh dengan pembunuhan itu hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
Beliau berkata kes pendakwaan bergantung semata-mata atas dasar keterangan tidak langsung atau keterangan mengikut keadaan yang berlandaskan kepada dua faktor genting untuk membuktikan Hanif Basree yang telah melakukan kesalahan ini.
Dua keterangan tidak langsung yang terpenting dalam kes pendakwaan ialah:-
1. Tertuduh dilihat bersama dengan Noritta pada jam 1 pagi, 5 Disember lalu secara inferensi (kesimpulan) adalah orang terakhir bersama simati.
2. Keterangan saintifik melalui analisis profil DNA menunjukkan yang tertuduh telah melakukan hubungan seks dengan Noritta sebelum kematiannya dan ini mengukuhkan inferensi yang dialah (Hanif) orang yang terakhir dengan si mati.
Motif cemburu
Katanya, keterangan itu menunjukkan Hanif Basree ada peluang untuk melakukan jenayah ini, di mana pihak pendakwaan dalam hujahannya mengatakan tertuduh mempunyai motif cemburu melakukan kesalahan ini.
Dengan mengambil keterangan dua pengawal keselamatan, Suzaki Supok dan K Thanabalan untuk membuktikan Hanif Basree merupakan orang terakhir dilihat dengan Noritta, adalah selaras dan menyakinkan mahkamah bahawa mereka melihat tertuduh dan si mati pada jam 1 pagi, 5 Disember lalu.
Abdull Hamid berkata keyakinan mereka adalah harmoni dan mengingati secara terperinci apa yang dipakai oleh Hanif dan Noritta termasuk warna pakaian mereka.
"Mereka sungguh jelas sehingga dapat memastikan waktu tertuduh dan Noritta masuk ke kondominium dan ke kawasan tempat letak kereta," katanya.
Tetapi, katanya selepas pemeriksaan balas oleh peguambela, terbongkar cerita sebenar kenyataan Suzaki dan Thanabalan sebelum ditangkap oleh polis pada 17 Disember, di mana mereka mengatakan mereka tidak nampak kejadian itu.
Katanya, malah semasa Suzaki dan Thanabalan disoal-siasat oleh polis, iaitu tidak lama selepas mayat Noritta ditemui, mereka tidak memberitahu apa-apa yang dilihat ada ketika itu.
Berdusta
"Mereka merupakan pengawal bertugas. Selepas mereka ditangkap dan disoal bertubi-tubi dengan menunjukkan gambar, barulah mereka terlintas peristiwa 1 pagi 5 Disember lepas.
"Itu di dalam keadaan tertekan, pada mulanya Thanabalan berkata dia tidak mengenali tertuduh apabila gambar ditunjukkan. Tetapi setelah ditanya lima hingga enam kali, baru pengawal keselamatan itu mengakui dia mengenali Hanif Basree," katanya.
Dalam keadaan mahkamah yang sesak dengan wartawan, ahli keluarga terdekat Hanif Basree serta beberapa peguam, Abdull Hamid berkata sebelum itu, Suzaki dan Thanabalan memberi keterangan mereka melihat Hanif Basree dengan Noritta, sebanyak 20 hingga 30 kali atau lima hingga enam kali dalam dua bulan.
Beliau berkata adalah aneh kerana Thanabalan tidak dapat mengenali tertuduh dan telah membuat pengakuan mengejut kerana berdusta kepada polis dengan dua kenyataan kepada polis bahawa dia tidak nampak Hanif Basree.
Suzaki pula jelas mempunyai fikiran celaru dan perlu merenung kembali di rumah pengawal keselamatan dari 5 Disember hingga 17 Disember lepas dan di lokap polis setelah tangkapan, untuk mengingat kembali kejadian 5 Disember lepas.
Seramai 34 saksi termasuk bapa dan adik Noritta dipanggil oleh pendakwaan untuk memberi keterangan di dalam perbicaraan kes tersebut.

