Ketua Penerangan Parti KeADILan Nasional, Ruslan Kasim, hari ini diumumkan sebagai calon Barisan Alternatif bagi pilihan raya kecil parlimen Teluk Kemang. Ruslan dijangkakan bertemu dengan S. Sothinathan, setiausaha politik Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menamakan calon Barisan Nasional itu petang ini.

Empat pemimpin utama BA dalam satu kenyataan bersama berkata, "keputusan ini bukan sahaja merupakan keputusan strategik yang akan membantu mencapai kejayaan BA di Teluk Kemang, ia juga membuktikan jalinan erat antara parti-parti dalam BA."

Bagaimanapun dalam kenyataan yang sama, DAP masih bertegas bahawa Teluk Kemang merupakan kawasan tradisi yang ditandinginya sejak pilihan raya 1969.

"Namun, dalam pilihanraya kecil yang akan datang, DAP bersetuju memberi laluan kepada calon keADILan untuk bertanding sebagai calon Barisan Alternatif," kenyataan yang sama dipetik.

Seorang lagi calon yang disebut-sebut akan menyertai pilihan raya kecil itu ialah bekas aktivis KeADILan, P. Uthayakumar, kini sebagai Setiausaha Agung jawatankuasa penaja Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim).

Dalam pilihan raya umum lalu, calon KeADILan, N. Gopalakrishnan bertanding menentang calon Barisan Nasional, S. Anbalagan.

Kerusi itu kosong selepas Anbalagan meninggal dunia pada 28 April akibat serangan penyakit jantung.

Mendiang menang kerusi itu dengan majoriti 9,942 undi.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan itu ditetapkan 30 Mei ini dan hari pengundian pada 10 Jun depan.

Menurut sumber rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daftar pemilih yang disahkan pada 24 Februari lepas mengandungi 66,646 pemilih bagi Teluk Kemang akan digunakan bagi pilihan raya kecil kali ini.

Seramai 61,641 merupakan pemilih biasa dan 5,005 pemilih pos dengan pecahan 45.44 peratus pengundi Melayu, 33.23 peratus Cina, 20.64 peratus India dan selebihnya pelbagai bangsa.