Pelbagai khabar kurang enak didengar berkaitan edisi sulung Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai kekhuatiran khususnya di kalangan ibu bapa dan seterusnya merobek kercayaan masyarakat terhadap keberkesanan program ini dalam membentuk generasi yang berdisiplin sebagaimana yang diwar-warkan.

Justeru Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mencadangkan beberapa aspek berikut diambil tindakan segera. Beberapa aspek yang wajar diteliti.

Ketika ini PLKN mempunyai empat modul yang dilaksanakan secara berasingan modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembinaan karektor dan modul khidmat masyarakat. Tidak dinafikan keempat-empat modul ini sememangnya mengandungi ramuan untuk membentuk remaja yang berdisiplin.

Namun, kekurangan yang paling ketara ialah dari aspek penerapan unsur spiritual dan kerohanian. Kekurangan ini wajar dilihat secara serius kerana cita-cita melahirkan generasi muda yang cemerlang, tidak akan tercapai seandainya pembangunan spiritual dikesampingkan.

Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menekankan betapa perlunya semua pihak mengusahakan emansipasi dan pengukuhan dalam segala aspek pembangunan manusia dari segi sosial, moral, etika dan politik.

Para peserta sepatutnya dibimbing untuk menjadi seorang penganut yang baik kepada agama masing-masing dan dididik untuk memahami dan menghormati perbezaaan yang wujud antara agama masing-masing. Selain itu kekurangan yang ketara ialah penekanan terhadap disiplin yang tidak konsisten merentasi modul-modul yang dilaksanakan.

Kekurangan ini menyebabkan para peserta seolah-olah 'melepas geram' dengan melakukan pelbagai tindakan vandalisme semasa mengikuti modul-modul yang dijalankan di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia dan kegiatan gangsterisme sebagaimana yang dilaporkan di media. Sekali lagi pendekatan secara holistik adalah ubat yang paling mujarab untuk mengubati penyakit-penyakit ini.

Berhubung soal pemilihan jurulatih dan fasilitator, pemilihan mereka harus diketatkan dan bukan sekadar perlu diteliti dari aspek kemahiran mereka semata-mata, sebaliknya keupayaan seseorang jurulatih itu menjadi 'murabbi' juga perlu diambil kira.

Latihan untuk jurulatih sebelum program berlangsung, juga perlu mengambil kira soal pembinaan peribadi jurulatih dan pembinaan kemahiran interaksi yang sihat bersama peserta. Kita perlu memikirkan supaya para jurulatih ini juga diinstitusikan melalui satu badan latihan yang tetap bagi mengelakkan gejala tangkap muat di kalangan jurulatih dan para fasilitator berlaku.

Kami juga mencadangkan agar diwujudkan badan pemantau bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada usaha murni yang ingin dijayakan melalui PLKN. Badan pemantau ini membolehkan segala pandangan, dapat disampaikan kepada pihak kerajaan bagi memantapkan lagi program ini.

Pertubuhan belia, persatuan mahasiswa, Suhakam, aktivis masyarakat dan ahli akademik sewajarnya diberi peluang untuk menganggotai badan tersebut bagi mengkaji kelemahan yang boleh diperbaiki. Paling penting, badan pemantau perlu berusaha menghapuskan prejudis dan menjadi jambatan antara masyarakat dan kerajaan untuk menjelaskan segala kekeliruan.

Mahasiswa menyambut baik hasrat untuk mengkaji semula PLKN dan sewajarnya ruang muhasabah ini dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memperbaiki sebarang kepincangan.yang berlaku.

Sewajarnya kita berfikir penuh rasional dan bermesyuarah untuk mencapai keputusan yang terbaik bukannya berfikiran simplistik dan akhirnya keputusan yang dicapai hanya separuh masak. Biarlah hasil daripada PLKN ini baik sebagaimana baik dan murni matlamatnya yang asal.


Penulis adalah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM)
.