Mustapa dan Annuar minta maaf pada Speakar DUN Kelantan
Ketua Pembangkang Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, Datuk Annuar Musa dibenarkan menyertai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan setelah meminta maaf kepada Speaker Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Ketua Pembangkang Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, Datuk Annuar Musa dibenarkan menyertai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan setelah meminta maaf kepada Speaker Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Di permulaan persidangan hari ini, Wan Abdul Rahim mengumumkan bahawa kedua-dua pemimpin Barisan Nasional (BN) itu telah menulis surat bertarikh hari ini memohon maaf kepadanya.
Menurut Bernama, beliau telah menemui Mustapa dan Annuar sebelum Dewan bersidang dan mereka saling bermaafan bagi melupakan perkara yang berlaku.
Wan Abdul Rahim mengalu-alukan kehadiran mereka dalam persidangan hari ini setelah tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam persidangan pada hari pertama semalam.
Mustapa dan Annuar digantung daripada mengambil bahagian oleh Speaker kerana mempertikaikan pelantikan beliau di dalam dan di luar dewan pada 5 Mei lalu, dan kedua-duanya diberi notis 14 hari untuk menarik balik tuduhan dan mengemukakan notis maaf.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin BN itu dibenarkan duduk mengikuti sepanjangan persidangan semalam tetapi tidak boleh mengemukakan sebarang soalan.
Bertikam lidah
Dalam persidangan hari ini, Mustapa dan Annuar mengambil peluang bertubi-tubi bertanyakan soalan kepada kerajaan negeri berhubung perkara seperti kemiskinan, pembalakan, dasar Islam kerajaan serta masalah sosial.
Pada satu ketika, Annuar dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan Husam Musa, bertikam lidah berhubung isu pembalakan menyebabkan Speaker beberapa kali terpaksa menenangkan keadaan dan meminta mereka duduk.
Sementara itu, semasa bercakap kepada pemberita di luar dewan, Annuar berkata beliau dan Mustapa memohon maaf bagi memastikan mereka dapat mengambil bahagian dalam persidangan untuk kepentingan rakyat.
"Yang penting adalah rakyat yang kita wakili dan kemuliaan Dewan dapat kita pergunakan untuk membela nasib rakyat," katanya.
Menurutnya dalam pertemuan dengan Wan Abdul Rahim, beliau memaklumkan bahawa kesemua 21 Adun BN ingin menjadi pembangkang yang konstruktif dan berharap Speaker dapat memberikan kerjasama dan peluang saksama kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab.

