Penganjur ‘Kempen Switch Off 14’, Jurey Latif berkata mereka perlu mendapatkan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi memastikan 11 tuntutan mereka menjadi kenyataan.

“Kertas kerja dah dihantar pada Menteri (Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek), sekarang kami perlu bertemu KP Finas,” kata Jurey satu dalam sidang media pada malam tadi.

Selepas itu, barulah tuntutan itu dapat dimajukan kepada RTM dan stesen lain bawah konglomerat Media Prima dan Astro, katanya.

Jelasnya, sokongan daripada Finas itu penting kerana badan itu bertanggungjawab ke atas dasar dan perundangan berhubung penerbitan dan pembangunan drama serta filem tempatan.

“Akta Finas salah satunya bertujuan membangunkan industri film tempatan. Semua urusan bersangkutan industri termasuk lesen penerbitan untuk syarikat penerbitan dikeluarkan oleh Finas.

“Ini termasuk dasar 'made in Malaysia', (syarat) Paducitra dan banyak lagi. Finas juga agensi di bawah kementerian komunikasi dan multimedia.

“Finas merupakan jambatan di antara industri dengan kerajaan,” katanya lagi yang menambah, kesemua persatuan dalam industri diwajibkan berdaftar bawah Finas.

Jawatan ketua pengarah Finas kini disandang oleh Kamil Ahmad Mohd Othman, yang menurut Jurey, turut memberi kelulusan awal kepada acara program mereka di Dataran Karyawan Finas, Hulu Kelang pada malam tadi.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kamil pada masa terdekat untuk membincangkan mengenai tuntutan utama untuk menyelaraskan harga belian drama.

Beliau turut berpuas hati dengan penganjuran acara pada malam tadi yang menarik kehadiran 3,000 orang penggiat dan karyawan dalam seni lakon.

Melihat pada perkembangan itu, Jurey berkata beliau yakin akan mendapat sokongan daripada Kamil, namun masih khuatir kerana ada di kalangan pentadbiran Finas disyakinya masih sangsi dengan objektif mereka.

Turut mengulas perkara sama, pengarah terkenal, Yusof Kelana berkata ia dikesan ketika mereka memohon untuk menggunakan premis Finas bagi acara pada malam tadi.

Katanya program itu pada awalnya diberi kelulusan oleh Kamil Ahmad, untuk diadakan di Dataran Karyawan di Kompleks Studio Merdeka.

Namun, kelulusan itu dibatalkan oleh salah seorang timbalan pengarah Finas dan memaksa mereka memindahkan lokasi program ke Dataran Zoo Negara, kata Yusof.

“Kami telah menghantar surat kepada ketua pengarah Finas dan kami mendapat kelulusan tetapi keesokan harinya Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas, Megat Al Imran membatalkannya.

“Jadi ini saya rasa ada dua rejim dalam Finas dan saya tak tahu apa politik yang mereka mainkan,” kata  jelasnya kepada media.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Megat berhubung dakwaan tersebut.