Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung sementara bintang badminton Malaysia Datuk Lee Chong Wei kerana jelas melanggar peraturan antidoping.

Badan dunia itu mengenakan tindakan itu berdasarkan dapatan analisis terperinci terhadap sampelpada Kejohanan BWF Dunia pada Ogos, lapor Bernama.

"BWF telah merujuk perkara itu kepada Panel Pendengaran Doping BWF, dan dengan itu, Pengerusi Panel akan menetapkan masa, tarikh dan lokasi pendengaran.

“Panel akan menentukan sama ada benar atau tidak atlet itu telah melanggar peraturan antidoping," BWF dipetik sebagai berkata dalam kenyataan hari ini.

Menurut Klausa 14.4.1 Peraturan AntiDoping BWF, dan berikutan tindakan penggantungan sementara itu, BWF dan anggota persatuan – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) – boleh mengumumkan identiti pemain terbabit.

Penggantungan Sementara (Klausa 7.6.2) menetapkan atlet dilarang sementara daripada menyertai mana-mana pertandingan sebelum keputusan dibuat Panel Pendengaran Doping BWF.

Menteri tetap yakin tak salah

Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebagai berkata, kementeriannya bersungguh-sungguh membela Lee bukan didorong kebimbangan Malaysia hilang beberapa kejuaraan badminton.

Katanya, ia dibuat atas keyakinan bahawa Lee tidak salah, selain hak Chong Wei sebagai atlet kebangsaan untuk mendapat pembelaan yang terbaik.

"Ini adalah soal hak pemain kita sendiri, hak untuk mendapat pembelaan yang terbaik tidak kira atlet sukan mana sekalipun.

"Dalam kes ini kita percaya bahawa beliau tidak salah, oleh yang demikian untuk perbicaraan yang bakal dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kita perlu menyediakan kes yang terbaik bagi Chong Wei," Khairy dipetik sebagai berkata oleh Bernama.