Dua pengawal keselamatan gagal mengawal perasaan sehingga menangis teresak-esak setelah masing-masing dihukum penjara lapan tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini kerana melarikan wang syarikat berjumlah lebih RM1.8 juta.
    
Keadaan itu berlaku sejurus selepas Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman dan kedua-dua tertuduh dihampiri sanak saudara untuk menenangkan perasaan.
    
Azhaniz Teh memerintahkan Kassim Taysing, 34, dan Adrin Jalil, 36, yang mengaku bersalah, menjalani hukuman tersebut bermula tarikh mereka ditangkap iaitu pada 27 Oktober lepas.
    
Kasim dan Adrin, yang ditugaskan sebagai pemungut wang hasil jualan didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas, melakukan pecah amanah dengan melarikan wang milik Syarikat Safeguard G4S Sdn Bhd, di tepi jalan Putra Permai 1A, Seri Kembangan pada 9.42 malam 27 Oktober lepas.
    
Mereka didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Ketika rayuan Kassim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan dia telah bekerjasama dengan polis sehingga berjaya menemui semula wang yang dilarikan itu.
    
Adrin juga memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.
    
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
    
Mengikut fakta kes, pada 10.08 malam 27 Oktober lepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lelaki yang diikat dan ditinggalkan di Jalan Lestari Perdana 7, Seri Kembangan.
    
Sejam selepas itu polis menyelamatkan lelaki berkenaan iaitu Kassim dan hasil maklumat, polis seterusnya menahan tiga rakan Kassim termasuk Adrin untuk siasatan.
    
Hanya Kassim dan Adrin yang didakwa setakat ini.
    
Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han.

- Bernama