Pentadbiran Universiti Malaya (UM) kini mengambil pendekatan lebih berlembut dalam menghadapi perhimpunan besar di universiti itu, Jumaat ini.

Perhimpunan itu bakal diadakan sebagai tanda solidariti ke atas lapan aktivis siswa yang bakal dihadapkan ke lembaga tatatertib.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM Prof Datuk Rohana Yusof berkata, pihaknya tiada masalah dengan penganjuran acara “Occupy University” itu kerana menganggapnya sebahagian daripada aktiviti pelajar.

"Apapun mereka nak buat, buatlah. Terpulang pada mahasiswa itu sendiri kerana (program) itu adalah aktiviti mereka sendiri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau bagaimanapun berharap agar kegiatan siswa berkenaan tidak melibatkan campur tangan pihak luar.

"Ya, saya tahu tentang aktiviti mereka. Saya hanya berharap pihak luar tidak campur tangan.

"Ini adalah isu pelajar dan kita ingin membina pemimpin masa depan yang berilmu dan berbudaya

Katanya, beliau juga tiada masalah dengan slogan "Occupy" – istilah kontemporari bagi tindakan peserta perhimpunan menawan sesuatu lokasi strategik sebagai tanda protes.

Istilah berkenaan dipopularkan oleh gerakan Occupy Wall Street di Amerika Syarikat.

Rohana berkata, beliau menganggap bahawa universiti sememangnya tempat yang perlu ditawan oleh mahasiswa.

"Slogan itu sendiri sudah jelas, jika bukan mahasiswa yang “occupy” universiti, siapa lagi yang akan occupy?

"'Occupy' lah universiti, kerana itu memang tempat mereka,” katanya yang mengulangi perkara itu beberapa kali sambil ketawa kecil.

Sikap berkenaan nyata berbeza dengan tindakan UM ke atas kumpulan siswa terbabit pada minggu lalu.

UM menykat program  pidato yang

menampilkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu dan menganggapnya sebagai perhimpunan haram.

Pihak keselamatan UM turut mengunci pintu pagar utamanya pada malam 27 Oktober itu, yang kemudiannya dirempuh oleh kira-kira 2,000 siswa untuk menyertai Anwar di Dataran Dewan Tunku Canselor.

Susulan itu, UM membuat laporan polis dan menjalankan siasatan dalaman ke atas lapan orang aktivis siswa, termasuk Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi Zainol.

Fahmi Zainol bakal menghadapi sembilan pertuduhan, sementara tujuh yang lain masing-masing satu pertuduhan apabila dihadapkan ke Lembaga Tatatertib, Jumaat ini.

    

Sebagai tanda solidariti, gabungan kumpulan mahasiswa kampus tersebut antara lainnya merancang untuk mengadakan teater senyap, persembahan muzik serta ceramah.

Program itu akan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, bertempat di Gazebo di Kompleks Perdana Siswa.