Kecemerlangan bukan berdasarkan kaum
Saya merujuk kepada tulisan Ted Ng, yang meminta supaya diterima hakikat bahawa bukan bumiputera lebih cemerlang.
"Let's face the fact. Non-bumi students are more inclined to excel in examinations. A full 100% meritocracy system will result in the majority of 'good' - such as medicine, pharmacy, law and engineering - courses being taken up only by the non-bumis".
Ini adalah kenyataan yang tidak berasas dan berbau perkauman. Atas data apakah Ted Ng membuat kenyataan bahawa bukan bumiputera lebih cemerlang daripada kaum lain. Saya bekerja sebagai guru hinggalah menjadi pensyarah di universiti tertua di Malaysia, dan pelajar saya pula daripada pelbagai kaum.
Berdasarkan pengalaman saya mengajar, soal sama ada seseorang itu cemerlang atau tidak, bukan berdasarkan kepada kaum. Saya mempunyai pelajar Cina yang cemerlang, tetapi saya juga mempunyai pelajar Cina yang malas dan tidak mahu mendengar kata walau berbagai nasihat telah diberi.
Saya juga mempunyai pelajar Melayu dan India yang rajin dan cemerlang, dan juga pelajar Melayu dan India yang malas. Sebagai pendidik, saya tidak suka membuat kenyataan tidak bertanggungjawab dengan mengatakan pelajar bumiputera lebih baik atau sebaliknya, tanpa data di tangan.
Semasa saya melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, saya dapati kaum minoriti di sana ketinggalan dalam pelajaran. Saya boleh membuat kenyataan rambang dengan menyatakan mereka ini malas, lebih suka terlibat dalam perniagaan dadah, dan memilih untuk tidak maju. Tetapi saya dilatih untuk mengkaji.
Setelah mempelajari sejarah dan latarbelakang masalah mereka, kaum minoriti ini ketinggalan kerana mereka tidak dibantu untuk mengatasi masalah mereka. Jadi kesimpulannya, bukanlah seseorang itu menjadi cemerlang kerana 'kaum' tetapi atas dasar individu itu sendiri.
Janganlah kerana 128 orang pelajar bukan bumiputera tidak mendapat tempat di fakulti perubatan, membolehkan Ted Ng mendakwa mereka cemerlang.
Saya akui 128 pelajar itu cemerlang, tetapi mereka kurang cemerlang berbanding dengan kira-kira 700 pelajar yang diterima. Janganlah mempertikaikan keputusan matrikulasi kerana pelajar matrikulasi juga belajar dan bersungguh-sungguh. Janganlah angkuh bila cemerlang, seolah-olah orang lain memang pemalas.

