Berkali-kali berita penyeksaan ke atas pekerja asing, khasnya pembantu rumah disiarkan. Semua pihak turut membantah, temasuk juga pihak kerajaan sendiri. Namun, setiap kali selepas kes demi kes berlaku, tiada perubahan serius dari segi polisi kerajaan bagi pembantu rumah asing.

Polisi-polisi pekerja yang memastikan hak asasi pekerja -pembantu rumah terjamin dan juga hak menubuhkan organisasi pembantu rumah pekerja asing, harus diiktirafkan.

Satu contoh yang baik ialah di Hong Kong, di mana kerajaan telah mengubalkan undang-undang bagi memastikan pembantu rumah menikmati gaji minima yang standard, cuti sekurang-kurang dua hari sebulan, hak keluar dari rumah/atau memilih tidak menetap di rumah majikan, berhak menikmati cuti ketika cuti umum nasional dan jua menubuh/menyertai organisi kesatuan sekerja pembantu rumah (pekerja asing).

Dengan adanya perlindungan undang-undang buruh yang termaktub serta hak berorganisasi, ramai pekerja asing (pembantu rumah) di Hong Kong mampu bukan saja menikmati perlindungan, malah jua dapat memastikan kesatuan mereka membantu pekerja asing jika konflik antara pekerja dan majikan agar ia tidak melarut hingga memberi kesan buruk.

Dengan ini, Malaysia, sebagai negara pengimport pekerja asing, seperti juga Hong Kong, seharus mempertimbangkan pengubalan polisi buruh yang baik untuk melindungi pembantu rumah (dari negara asing) dan bukannya membiarkan tanggungjawab itu dipikul oleh majikan dan agen pekerja asing.

Kerajaan juga bertanggugjawab ke atas masalah tersebut kerana polisi perlindungan hak pekerja asing yang amat lemah di Malaysia. Supaya pekerja-pekerja asing tidak lagi diseksa secara sia-sia, mesti ada undang-undang buruh yang memihak kepada mereka serta mewujudkan organisasi yang dapat mendidik serta mempertahankan hak mereka.

Kita seharusnya menghormati pekerja tempatan dan asing selaku kaum pekerja yang juga ada hak menubuh dan menyertai kesatuan sekerja.