Membaca tulisan terkini saudara Hishamuddin Rais (Hisham) amat mengasyikkan. Saya akui sepanjang pembacaan saya, tidak ada seorang pun penulis Melayu yang seberani Hisham untuk menulis pujian-pujian kepada Gautama Budha ataupun memuji Karl Marx. Yang ada hanyalah memuji Nabi Muhammad (SAW) yang memang dilakukan oleh semua umat Islam.

Di Indonesia lain ceritanya di mana tersedia beberapa lamanweb berkaitan komunisme, sedangkan di sini sepertimana ungkapan Nik Aziz (Nik Mat) 'sosialisme itu adik komunis' menggambarkan betapa pantangnya orang Melayu dengan komunis. Apatah lagi dengan pengasas ajarannya, si Karl Marx.

Ini menunjukkan bahawa Hisham telah melepasi ujian berat untuk mencari seorang wakil yang paling sesuai untuk dijadikan pengerusi kepada gagasan Barisan Alternatif (BA) yang telah berdiri sejak 1999 tetapi gagal mencapai tujuannya, malah semakin negatif perkembangannya.

Faktor kegagalan BA sudah pastinya pelbagai, tetapi ramai penganalisis melihat bahawa ketiadaan tokoh sesuai sebagai pengerusinyalah yang menjadi faktor terbesar kegagalannya.

Mencari tokoh BA ini sangat penting, kerana beliau akan menjadi juruarah dan jurucakap utama kepada perkembangan BA masa depan. Pada pandangan saya tidak ada orang lain yang layak, kecuali Hisham.

Jangan lihat Hisham sebagai seorang ketua anak muda di Universiti Bangsar Utama (UBU) untuk mengukur betapa munasabahnya cadangan saya ini. Sebaliknya, ambillah Hisham sebagai seorang anak muda yang bervisi, setaraf malah mungkin lebih hebat daripada Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) kalau diukur kapasiti pemikiran pada masa dulu dan masa kini.

Hisham bukan sosok retorik berbanding DSAI. Saya bukanlah bermaksud cuba merendahkan DSAI, tetapi sepanjang membaca pemikiran-pemikiran antara kedua sosok ini, ternyata Hisham berjaya mengupas perbincangan dengan sangat baik berbanding yang seorang lagi yang hanya pandai menyebut tokoh-tokoh dan penulis ternama tetapi gagal memperincikan buah fikiran mereka. Inilah kelebihan Hisham.

Jangan kata Hisham tidak mampu memimpin. Pengalaman beliau sebagai aktivis di Universiti Malaya meletakkan beliau hampir sama saja dengan pemimpin negara yang lain pada hari ini. Pengalaman itu hanya perlukan sedikit gilapan sahaja lagi. Secara bergurau, mungkin perlu juga sedikit perubahan imej kepada beliau.

Tetapi, yang lebih penting dalam membentuk gagasan Barisan Alternatif yang mampu menyaingi Barisan Nasional, saya sukar melihat tokoh lain. Tokoh yang sepatutnya mempengerusikan BA bukanlah tokoh agama kampung, yang hanya bercakap tentang soal fikh tidak habis-habis ataupun menyindir tokoh lawan dengan kata-kata 'sembahyang untuk menunjukkan riak sahaja'.

Atau menyindir tokoh sekutu yang dihormati kumpulan mereka dengan ubat habis tempoh. Ataupun, sekali lagi memetik kata-kata Nik Aziz, 'sosialis adik komunis' yang menyebabkan perpecahan dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) kepada Parti Rakyat Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia menjadi sia-sia.

Pemimpin seumpama ini hanya boleh memimpin kumpulan mereka di pedalaman Pantai Timur yang mana rakyatnya akan mendengar ceramah Tuan Guru sambil mengangguk kepala tanda akur, bukannya tanda faham.

Hisham juga pastinya lebih baik daripada Wan Azizah (Wan Ismail) mahu pun Ezam (Mohd Nor) yang masih berpura-pura tentang keinginan sebenarnya untuk memasuki Umno walaupun gambar beliau bersama-sama Datuk Aziz Shamsudin, yang dituduhnya Bapak Konspirator, disebarkan merata-rata tempat sewaktu pilihanraya umum baru-baru ini.

Hisham seorang yang berterus terang dengan fikirannya dan pemikirannya. Beliau berpolitik dengan cara yang mudah difahami. Malah selama ini, beliau dianggap pembimbing di belakang tabir kepada pergerakan Keadilan dan reformasi.

Tetapi, dalam banyak-banyak aspek yang diceritakan di atas, terdapat satu aspek yang maha penting, yang juga tercermin dalam tulisan Hisham terkini, iaitu, aspek keterbukaan beliau untuk menerima kepelbagaian ideologi yang menjadi teras dan inti kepada kestabilan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Ciri ini tidak terdapat secara jelas pada sosok tokoh-tokoh pimpinan BA yang ada pada masa kini, terutamanya dalam pimpinan PAS dan Keadilan.

Memahami betapa liberalnya pemikiran Hisham sangat penting dalam menghadapi arus globalisasi, dan ramai melihat bahawa pemecahan tradisi kepimpinan dan politik di Malaysia kepada suatu sistem yang lebih terbuka akan menjadi satu ciri penting perjuangan politik mana-mana parti pada masa akan datang.

Parti-parti yang berciri perkauman seumpama yang ada pada hari ini pastinya akan berkembang ke arah parti-parti yang lebih terbuka. Sepatutnya, pilihanraya ke-12 akan datang menandakan permulaan perubahan ini.

Dan bagusnya, realiti ini setakat ini wujud dalam gagasan BA berbanding BN. Manakala yang tak bagusnya, gagasan BA yang wujud pada masa kini adalah gagasan cacamarba, yang tidak tahu arah tujuan serta didominasi parti 'Hijau Putih' yang konservatif berbanding BN yang kemas strukturnya.

Pelantikan Hisham sebagai pengerusi, dengan ciri pemikiran liberalnya, mampu mencantum semua pemikiran dan ideologi yang berkecamuk dalam parti-parti kecil ini untuk membentuk sebuah gagasan yang benar-benar dilihat alternatif kepada Barisan Nasional.