Perjuangan belum selesai
Ingatkah kita pada sajak yang digubah oleh Dr Mahathir Mohamad bertajuk Perjuangan Belum Selesai. Tetapi izinkan saya Dr Mahathir, untuk menggunakan sajak tersebut kepada perjuangan parti Keadilan yang didokong oleh saudara Anwar Ibrahim.
Kekalahan teruk parti Keadilan amnya, dan parti-parti pembangkang umumnya, pada pilihanraya kesebelas baru-baru ini, bakal menyaksikan kekecewaan di kalangan pemimpin parti Keadilan. Ini adalah lumrah kerana sebahagian besar pemimpin parti tersebut berasal dari Umno.
Perjuangan parti Keadilan yang baru menghadapi dua kali pilihanraya adalah masih jauh dan berliku. Kebanyakan pemimpinnya yang menonjol terdiri daripada golongan muda seperti Mohd Ezam Mohd Nor, Mohd Azmin Ali, Saifuddin Nasution, Tian Chua dan beberapa orang lagi.
Saya cukup yakin dengan ketahanan mental mereka ini tetapi ahli-ahli dan penyokong yang lain juga perlu mempunyai ketahanan mental seperti mereka ini. Isu rasuah dan penyelewangan kerajaan masih belum dapat diselesaikan walaupun perdana menteri telah bertukar.
Jangan kita lupa dengan adanya perdana menteri yang baru ini yang kononnya nampak bersih maka segala isu-isu yang dibangkitkan selama ini sudah menjadi tidak relevan.
Jika isu rasuah terutamanya tidak diselesaikan oleh kerajaan, maka pemimpin parti Keadilan mesti terus membangkitkannya agar ianya terus bermain di fikiran rakyat. Percayalah semua bahawa jika parti Keadilan masih mampu bertahan sehingga terkeluarnya Anwar dari penjara Sungai Buloh, maka perjuangan parti itu akan mampu menarik lebih ramai penyokong, sepertimana sewaktu Anwar dipecat.
Pada masa itu, kita akan lihat bagaimana Umno yang selama ini mengatakan isu Anwar sudah tidak relevan, cuba untuk menangkis kebangkitan Anwar.

