Ulama mampu memimpin
Saya ingin merujuk kepada dua surat yang ditulis oleh saudara Alibaba. Surat pertamanya sebelum ini, antara lain mencadangkan perubahan di peringkat atasan PAS, iaitu perubahan presidennya.
Bagi saya, surat ini tidak lebih menggambarkan kekecewaan seorang pengundi PAS. Tidak pasti pula apakah beliau petugas yang komited dengan PAS sepanjang masa susah dan senangnya parti ini.
Beliau membangkitkan kedudukan presiden PAS yang tidak bersifat nasional. Dakwaan ini dilontarkan tanpa bukti yang jelas. Apakah kerana pakaian dan serban presiden, beliau tidak layak untuk memimpin Malaysia? Bila pula 'pakaian barat' itu merupakan pakaian milik rakyat Malaysia, jika kita ingin mempersoalkan jubah dan serbannya.
Bagi saya, kewibawaan beliau terserlah ketika mengetuai pembangkang di parlimen sebelum ini. Jika kita ingin menegaskan seorang ulama tidak layak memimpin negara, siapakah yang layak? Ahli ekonomi? Ahli sains? Pensyarah sains politik? Atau pemidato hebat?
Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang doktor perubatan dan beliau mampu. Anwar Ibrahim adalah seorang siswazah sastera, dan terbukti mampu selepas menyertai kabinet. Abdullah Ahmad Badawi bukan ahli ekonomi, dan bukan juga pemidato yang baik, apakah beliau tidak mampu?
Jika benar tidak mampu, apakah kerajaan Malaysia kini tidak stabil? Berlaku kepincangan pentadbiran kerajaan? Jika beliau turut mampu, apakah halangannya untuk mendakwa presiden PAS juga mampu? Cukuplah kejayaan Terengganu sebagai bukti ulama mampu memimpin.
Saya ingin bertanya, siapakah sebenarnya yang mentadbir negara Malaysia sepanjang kejayaan perdana menteri ke-4 dahulu? Apakah semua kejayaan Malaysia merupakan sentuhan seorang perdana menteri atau beliau sekadar mengetuai satu pasukan manusia yang membuat dasar dan polisi?
Kalau begitu, mustahilkah seorang ulama mengetuai sekumpulan pakar bagi membentuk dasar negara? Malah ia lebih baik, kerana ulama tadi akan meletakkan agama sebagai pengawal bagi perjalanan sesebuah negara.
Satu perkara lagi, kita jangan lupa akan propaganda media untuk merosakkan imej pemimpin PAS. Mereka sangat takut kekuatan gabungan Barisan Alternatif. Oleh itu, usaha pemecahan mesti dilakukan dengan merosakkan keyakinan rakyat terhadap satu pihak (PAS) tanpa pihak yang satu lagi.
Surat kedua beliau pula, hanya mengulangi perkara yang sama, tetapi dengan membawa hujah tambahan. Bagi saya mudah sahaja. PAS belum pernah mendakwa Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai bakal perdana menteri.
Parti ini sekadar mengiyakan kehendak parti Keadilan untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai perdan menteri bagi BA. Lupakah saudara? Malah PAS belum berkhayal untuk memenangi Malaysia. PAS tidak akan menggadaikan kepimpinan ulamanya semata-mata ingin menonjolkan bakal perdana menteri yang dilihat 'nasional', menurut tafsiran anda.
Persoalan kabinet bayangan, nampaknya anda adalah pengundi PAS yang tidak mengikuti perkembangan parti ini. Di manakah anda ketika PAS menang besar pada tahun 1999 lalu? Lupakah senarai kabinet bayangan PAS?
Ilmu adalah perkara yang boleh dicari. Tetapi ketakwaan dan kewibawaan perlu dibentuk. Payah sangatkah, sekiranya ulama PAS memimpin negara, mendapatkan pelbagai ilmu urus tadbir daripada beribu pakar daripada pelbagai disiplin yang berada di bawahnya?
Saya ingin ulangi sekali lagi. Soal serangan peribadi dan pelbagai isu lain adalah hasil propaganda media massa. Malang bagi orang yang berpengetahuan seperti anda, terpedaya.
Pernahkah kita mengikuti semua ucapan presiden baik dalam majlis politik, mahupun majlis ilmunya, malah ketika membentangkan belanjawan kerajaan negeri?
Dan akhirnya, saya berpendapat kesilapan strategi adalah perkara biasa dalam perjuangan dan pilihanraya. Ia bukan bermakna kewibawaan seseorang pemimpin, malah sebuah parti, hilang begitu sahaja dengan kesilapan itu.
Ia mesti dikaji dan bukan diperlekeh. Begitu juga aktiviti-aktiviti PAS yang lain. Memang benar banyak perkara yang mesti dilakukan. Tetapi untuk mengatakan tidak ada langsung, adalah tidak benar.

