Aktivis Orang Asli berkata merasa terhina dengan kenyataan menteri di Persidangan Sedunia mengenai Orang Asli (WCIP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa hak mereka dilindungi di Malaysia.

Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) berhujah, walaupun terdapat pelbagai peruntukan berkaitan rizab Orang Asli dalam Akta Orang Asli, tetapi realiti sebenar berbeza sama sekali.

Penyalaras JKOAP Shafie Dris (kanan) juga mengetengahkan tindakan kerajaan yang tidak menguatkuasakan hak-hak common law Orang Asli sepertimana yang diiktiraf mahkamah.

“Hak common law Orang Asli adalah berdasarkan kependudukan tanah yang berasingan dan berdasarkan sejarah lisan berkaitan dengan adat resam dan tradisi hubungan Orang Asli berkenaan dengan tanah mereka.

“Sedangkan hak Orang Asli di negara ini bergantung kepada comman law, manakala tanah adat Orang Asli kebanyakannya bertindih dengan rizab-rizab lain seperti rizab Melayu, rizab hutan simpan dan sebagainya,” jelasnya.

Shafie juga membangkitkan soal kemudahan asas yang belum sempurna di banyak perkampungan Orang Asli.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 24 September dilaporkan berkata, Malaysia komited melindungi hak serta kepentingan Orang Asli yang termaktub bawah undang- undang dan dasar kebangsaan.

Bercakap ketika menyertai rundingan meja bulat Persidangan Sedunia mengenai Orang Asli (WCIP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Shafie berkata, hak-hak itu jelas dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954.

Beliau juga dilapor berkata, perubahan hidup Orang Asli di Malaysia dapat dilihat apabila kadar kemiskinannya berkurangan ketara dalam tempoh lima tahun, daripada 83.4 kepada 31.16 peratus pada 2010.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.