Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Samad dengan beraninya mengingatkan Umno agar tidak memaksa orang Melayu berterima kasih kepada parti itu. Syabas untuk Shahrir kerana berani menyuarakan pendapat secara terus terang.

Kata-kata yang mewakili sentimen akar umbi ini tidak mungkin dapat didengar daripada pemimpin Umno yang lain. Nampaknya hanya beliau yang boleh menjadi harapan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi.

Para pemimpin Umno yang lain - terutamanya yang terpilih menganggotai Majlis Tertinggi dalam perhimpunan baru-baru ini - tidak boleh begitu diharapkan kerana sebahagian besar mereka memegang jawatan menteri, menteri besar, timbalan menteri, ahli perniagaan dan tokoh korporat yang bergantung kepada belas ehsan kerajaan untuk 'hidup.'

Shahrir seorang yang 'bebas'. Beliau tidak mengharapkan bantuan sesiapa untuk terus hidup dan bernafas dalam negara dan partinya. Suara dan sikap tegasnya sudah cukup untuk meraih undi daripada perwakilan Umno.

Berdasarkan kedudukannya yang tidak mempunyai apa-apa pangkat dalam parti dan kerajaan, dipercayai kemenangannya sebagai anggota MT baru-baru ini berdasarkan merit semata-mata dan bukannya politik wang.

Pemilihan itu nampaknya tidak mengubah pendirian tegas dan kritis beliau. Dalam satu program wawancara di RTM pada malam Rabu lalu, beliau menegaskan Umno sebagai badan politik yang bertanggungjawab tidaklah perlu berharap terima kasih daripada rakyat apabila berbuat sesuatu.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan oleh parti itu ialah kembali kepada idealisme yang tinggi kerana ia akan membantu parti itu untuk memenangani semula hati orang Melayu, termasuk generasi muda.

"Percayalah sokongan orang Melayu akan kembali dengan syarat kita pamerkan watak dan ciri-ciri yang dikehendaki oleh orang Melayu," tegasnya.

Kata-kata Shahrir itu ada kebenarannya. Para pemimpin Umno termasuk presidennya mesti ingat bahawa kuasa yang ada pada mereka datang daripada rakyat. Undi rakyat yang membuatkan mereka berkuasa.

Dengan kuasa, mereka merangka pelbagai pembangunan untuk rakyat. Jadi rakyat memang berhak mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan yang mereka dipilih.

Memandangkan undi rakyat yang menjadikan Presiden dan Timbalan Presiden parti Melayu itu sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, maka orang politiklah sepatutnya berterima kasih kepada rakyat, dan bukan sebaliknya.

Cara orang politik berterima kasih kepada rakyat ialah dengan menunaikan semua tanggungjawab yang diberikan kepada mereka - bekerja dengan gigih, bersih dan amanah. Bukannya mengungkit-ungkit apa yang dilaksanakan atau diberikan kepada rakyat.

Umno mesti sedar sikap semula jadi orang Melayu. Pantang bagi orang Melayu jika bakti atau jasa diungkit-ungkit. Perbuatan mengungkit-ungkit kebaikan diri sendiri akan hanya mendatangkan rasa benci rakyat kepada kerajaan. Buruk siku!

Yang penting bagi orang Melayu ialah keikhlasan. Kalau sesuatu kerja itu dijalankan dengan harapan mendapatkan balasan dan diungkit-ungkit selalu, amalan itu dianggap tidak ikhlas.

Apabila seseorang itu dianggap tidak ikhlas atau mempunyai "udang di sebalik batu" dalam segala tindak-tanduknya, lambat laun ia akan dibenci dan diketepikan. Begitulah juga dengan nasib Umno.

Kalau tidak henti-henti memaksa orang Melayu berterima kasih, lama- kelamaan Umno bukan sahaja akan dipandang serong, malah akan dipinggirkan sama sekali.

Presiden parti itu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mesti belajar daripada Umno pada zaman Tengku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Mengapa Umno di bawah dua presiden ini kuat dan mendapat sokongan orang Melayu?

Jawapannya mudah - Umno pada masa itu ikhlas berjuang, tidak mengungkit-ungkitkan jasa-jasanya. Apabila perjuangan Umno ikhlas, orang Melayu menyayanginya.

Oleh itu, pandangan Shahrir itu perlu dipandang serius.

Orang berbudi kita berbahasa, itulah pegangan orang Melayu. Tetapi jika Umno terus mengungkit-ungkitkan segala jasanya, falsafah itu akan diketepikan.

Diharapkan selepas ini tiada mana-mana ahli atau pemimpin Umno menganggap seorang Datuk ini tidak mengenang budi atau tidak pandai berterima kasih.

Kalau parti itu mahu selamat, dengarlah nasihat Shahrir!


AMAN RAIS, seorang wartawan berpengalaman yang kini bertugas dengan sebuah syarikat penerbitan dan pernah menulis untuk majalah Detik sebelum diharamkan.