Dalam muktamar 2 Jun lalu, Dr. LO' LO' mewakili suara lantang wanita PAS mengkritik dan mengusulkan agar parti Islam yang kelihatan konservatif itu memilih calon wanita dalam pilihanraya akan datang.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat ini menyertai PAS sejak 1980-an lagi tetapi hanya bergerak aktif pada 1990-an. Beliau kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Dr Lo' Lo' mendalami perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1983 dan kini bertugas sebagai pegawai perubatan dan pakar akunpunktur di salah sebuat pusat perubatan swasta di ibu negara.

Berikut adalah wawancara wartawan malaysiakini 'EIN AZMI di rumah beliau.

Malaysiakini: Apakah sebab Dewan Muslimat mengemukakan usul agar PAS memilih calon wanita bertanding dalam pilihanraya dan menganggotai parlimen?

Lo' Lo': Dewan Muslimat mengenengahkan cadangan tersebut kerana perkembangan politik semasa di Malaysia. Kira-kira 54 peratus pengundi terdiri daripada wanita dan jumlah sebesar ini sudah tentu mempengaruhi pilihan raya itu sendiri.

Kepentingan wanita akan disuarakan lebih kuat oleh wakil wanita sendiri (di Dewan Rakyat). Tambahan pula, tidak banyak perubahan pada wanita Malaysia hari ini. Kita tidak nampak pembelaan yang bersungguh-sungguh daripada wanita Barisan Nasional.

Banyak perkara yang telah lama tidak diperbetulkan - contohnya, sistem mahkamah syariah, sistem kekeluargaan (penderaan, isteri ditinggalkan tanpa nafkah) dan isu-isu wanita ini melibatkan semua kaum.

Ketika berkempen bersama wanita Barisan Altenatif, wanita PAS sering ditanya "Apakah tidak ada wakil wanita PAS yang bertanding?" Rakan-rakan wanita BA juga berasa kekurangan apabila wanita PAS yang membantu kempen pilihan raya tidak bersama-sama dalam Dewan Rakyat.

Mungkin ada perkara tertentu yang tidak boleh disuarakan wanita Parti KeADILan Nasional atau DAP di Dewan Rakyat. Sebagai contoh, peranan HAWA (Bahagian Hal Ehwal Wanita di Jabatan Perdana Menteri) dan mahkamah syariah - setakat ini tidak ada wakil wanita di Dewan Rakyat yang memahami hukum-hakam Islam dan syariah.

Malaysiakini: Adakah cadangan Dewan Muslimat ini bertentangan dengan budaya PAS dan Islam? Apakah pula pendirian ustazah-ustazah yang berada dewan ini?

Lo' Lo': Perlembagaan PAS tidak menyatakan dengan jelas bahawa calon wanita tidak boleh bertanding. Sejarah PAS sebaliknya menunjukkan pernah ada calon wanita PAS, Khadijah Sidek bertanding dan menang di Terengganu.

Cuma pada masa itu senario politik tentulah berbeza. Justeru itu kita mesti berbincang dan menilai semula manfaat dan kepentingan calon wanita bertanding dalam pilihan raya dan menganggotai Dewan Rakyat.

Hukum Islam pula sangat luas dan ada keanjalan. Dalam ucapan dasar Presiden, Datuk Fadzil Mohd Noor juga menyebut kita perlu memunggah hukum-hukum syarak itu supaya boleh diketengahkan dan menjadi panduan kepada masyarakat kontemporari dalam kehidupan yang begitu mencabar kini.

Naib Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyatakan terdapat dua pendapat daripada ulamak Universiti Azhar, Mesir - wanita dibenarkan bertanding dengan syarat tertentu dan pendapat kedua, tidak boleh dengan hujah tertentu. Al-Quran dan hadis tidak dinyatakan secara khusus wanita tidak boleh menjadi wakil rakyat.

Malaysiakini: Mengapa usul tersebut dikemukakan memandangkan ada pemimpin PAS berhujah keselamatan dan amalan demokrasi di negara ini tidak sihat dan menghalang calon wanita PAS bertanding?

Lo' Lo': Alasan ini juga ada asasnya. Politik Malaysia sangat kotor, bukan saja ugutan, malah fitnah sewenang-wenangnya dilemparkan. Kita tidak hairan fitnah boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, termasuk daripada pimpinan tinggi negara.

Sekiranya calon Muslimat bertanding, lipatan sejarah mereka dibuka kembali dan mereka akan mencari jalan yang boleh mengaibkan calon. Ia akan memberikan kesan yang bukan sedikit kepada dirinya, suaminya, malah kedua-dua buah keluarga.

Dalam pilihan raya kecil Telok Kemang misalnya, Ketua Pemuda KeADILan, Mohamad Ezam Mohd Nor, telah difitnah (dengan Nurul Izzah Anwar) - saya rasa suatu 'fitnah yang sangat bodoh'.

Fitnah tetap fitnah. Kita tidak mengetahui kesannya kepada orang lain yang tidak memahami situasi itu. Islam sendiri menjelaskan kesan fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh.

Kita tidak mahu Muslimat menggadaikan rumahtangga dan maruah mereka.

Justeru itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menetapkan calon wanita yang bertanding perlulah berumur lebih 40 tahun. Sebabnya, calon ini mempunyai kematangan dan emosi yang lebih stabil serta memiliki sifat keibuan yang tinggi.

Syarat kedua, calon tidak mempunyai anak kecil yang masih memerlukan perhatian rapi dan juga harus mendapat restu sepenuhnya daripada suami.

Ada pihak mungkin bertanya: "Kenapa wanita Umno boleh?" Kita tidak peduli apa orang lain hendak kata.

Muslimat PAS lebih bersedia menghadapi syarat-syarat ketat supaya tidak terbabas daripada landasan syariah. Kita bukan bercakap mengikut hawa nafsu atau keseronokan menjadi anggota Dewan Rakyat. Kita perlu berpegang kepada undang-undang Islam.

Malaysiakini: Saya difahamkan usul tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura. Bilakah majlis itu akan diadakan?

Lo' Lo': Saya tidak tahu tetapi kita tidak perlu tergopoh-gapah kerana pilihan raya pun lambat lagi. Kita tidak perlu tergopoh-gapah dengan desakan orang sebab kita ada prinsip sendiri. PAS terbina dan berjalan mengikut hukum syarak.

Justeru itu, sebarang dasar akan diputuskan oleh Majlis Syura. Kita perlu merujuk mereka yang pakar dalam hal ini. Mereka juga sudah berjumpa ramai ilmuwan dan ulama dari luar negara.

Malah, mereka juga bertemu dan berbincang dengan ahli-ahli parlimen dan hakim wanita di Sudan. Justeru itu, kami meletakkan sepenuh kepercayaan untuk mereka berbincang dan membahaskan usul calon wanita dari pandangan Islam.