Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mempercepat proses menganalisis data dikumpul berkaitan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, untuk membawa dalang yang menembak jatuh pesawat itu ke muka pengadilan.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) mengesahkan pesawat MH17 berkecai di udara selepas mengalami kerosakan struktur akibat ditembusi objek berkuasa tinggi dari luar pesawat, lapor Bernama.

Sehubungan itu, beliau berkata fakta-fakta dalam laporan awal termasuk rakaman percakapan kokpit dan data pesawat merupakan dokumen penting yang perlu dianalisis dan 'membuat rumusan daripadanya'.

"Penyiasatan membabitkan dua bahagian - dari segi data teknikal dan jenayah. Saya perlu lihat semua ini, sebagai menteri bertanggungjawab, saya perlu pastikan penyiasatan dijalankan secara terperinci.

"Data teknikal dan jenayah yang dikumpul perlu dianalisis agar dapat mencari perkara sebenar, siapa yang menembak jatuh pesawat kita dan membawa mereka ke muka pengadilan," beliau dilapor sebagai berkata kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang hari ini.

Selain laporan bedah siasat dan patologi yang perlu dianalisis, Liow juga dilapor berkata kajian forensik terhadap serpihan pesawat juga perlu dilakukan.

"Kami perlu ambil serpihan dan kaji bagaimana pesawat itu pecah dan ada beberapa bahagian yang cair, jadi apa puncanya.

“Saya fikir banyak data perlu dianalisis... jika dapat, kami berharap untuk membawa pulang serpihan berkenaan," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional.

Liow berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga akan pergi ke Ukraine untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di sana.

Liow berkata pasukan Malaysia juga masih menunggu kebenaran dari badan antarabangsa untuk memasuki lokasi nahas mencari baki jenazah sekiranya ada dan juga serpihan pesawat.

Liow berkata tarikh untuk membawa pulang lima lagi jenazah rakyat Malaysia yang sudah dikenal pasti belum dimuktamadkan kerana masih menunggu kelulusan kerajaan Belanda.

Setakat hari ini, 36 jenazah warga Malaysia telah dibawa balik ke tanah air secara berperingkat sejak 22 Ogos.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Terdapat 43 warga Malaysia dalam pesawat itu.

Berikut senarai jenazah warga Malaysia yang telah dibawa pulang secara berperingkat:

DIBAWA PULANG 19 SEPT

1. Muhammad Afzal Tambi (L) - Penumpang
2. Marsha Azmeena Tambi (P) - Penumpang
3. Shaikh Mohd Noor Mahmood (L) - Anak kapal

DIBAWA PULANG 9 SEPT

1. Tambi Jiee (L) - Penumpang
2. Benjamin Lee Jian Han (L) - Penumpang

DIBAWA PULANG 2 SEPT

1. Kapten Wan Amran Wan Hussin (L) - Juruterbang
2. Kapten Eugene Choo Jin Leong (L) - Juruterbang
3. Sanjid Singh Sandhu (L) - Anak kapal
4. Muhd Firdaus Abdul Rahim (L) - Pegawai Pertama MH17
5. Subashni J.Retnam (P) - Penumpang
6. Kaelamayajay Goes (P) - Penumpang
7. Loh Yan Hwa (P) - Penumpang

DIBAWA PULANG 24 OGOS

1. Mohd Ghafar Abu Bakar (L) - Penyelia penerbangan kabin MAS
2. Ng Shi Ing (P) - Penumpang
3. Tidak didedahkan

DIBAWA PULANG 23 OGOS

1. Tidak didedahkan

DIBAWA PULANG 22 OGOS

1. Mastura Mustafa (P) - Anak kapal
2. Ahmad Hakimi Hanapi (L) - Anak kapal
3. Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P) - Anak kapal
4. Nur Shazana Mohamed Salleh (P) - Anak kapal
5. Dora Shahila Kassim (P) - Ketua Pramugari MAS
6. Lee Hui Pin (P) - Anak kapal
7. Angeline Premila Rajandaran (P) - Anak kapal
8. Chong Yee Pheng (P) - Anak kapal
9. Azrina Yakob (P) - Anak kapal
10. Noor Rahimmah Mohd Nor (P) - Penumpang
11. Muhammad Afif Tambi (L) - Penumpang
12. Ariza Ghazalee (P) - Penumpang
13. Hasni Hardi Parlan (L) - Penumpang
14. Mohd Ali Md Salim (L) - Penumpang
15. Foo Ming Lee (L) - Penumpang
16. Karamjit Singh Karnail Singh (L) - Penumpang
17. Ng Qing Zheng (L) - Penumpang
18. Mabel Anthony Samy (P) - Penumpang
19. Paul Rajasingam Sivagnanam (L)- Penumpang
20. Elisabeth Ng Lyeti (P) - Penumpang