Ezam beri pesanan ketika tertekan: Keadilan
Pesanan itu disampaikan melalui isterinya ketika lawatan semalam, kata satu sumber yang rapat dengan parti itu kepada malaysiakini.
Bagaimanapun menurut sumber itu lagi, pesanan itu disampaikan dalam keadaan tidak bebas dan hanya sebagai mesej biasa seperti yang turut disampaikan oleh tiga lagi tahanan ISA sebelumnya.
Polis sejak minggu lalu membenarkan keluarga melawat pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin, dan dua lagi pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Baharom serta Saari Sungib.
"Ia (mesej itu) bukannya kata-kata (dengan rela) Mohamad Ezam; kata-kata yang sama juga pernah disampaikan oleh tahanan-tahanan lain. Tetapi pesanan itu bukannya datang daripada seseorang yang merdeka," kata sumber itu yang tidak mahu dikenali.
"Beliau kini sedang ditahan dan akan dikurung kembali selepas lawatan itu," tambahnya.
Menurut sumber itu, lawatan keluarga Ezam pagi semalam dikawal rapi dan oleh itu bukannya "keadaan yang bebas."
Apabila dihubungi, isteri aktivis pembangkang itu Bahirah Tajul Aris mengesahkan pesanan Ezam itu khusus untuk Pemuda tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.
"Saya tidak dapat dedahkan," kata Bahirah.
Beliau berkata suaminya juga meminta beliau bersedia kerana mungkin akan ditahan lebih lama di kem tahanan Kemunting, Perak.
Ditangguh Isnin depan
Pertemuan Mohamad Ezam dengan isteri dan tiga anaknya itu diatur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 9.30 pagi.
Pagi tadi Noor Farahin Ahmad bersama dua anak mereka dibenarkan melawat seorang lagi tahanan ISA, Lokman Noor Adam.
Menurut Noor Farahin, pemimpin Pemuda Keadilan itu tidak dibenarkan mendapatkan sebarang bahan bacaan dan tidak mengetahui perkembangan semasa.
"Dia bertanya saya berapa tahanan yang telah dibenarkan dilawat oleh keluarga masing-masing setakat ini kerana tidak dibenarkan membaca apa-apa," kata isteri Lokman lagi, selepas lawatan itu yang diadakan di tempat yang sama.
Lokman dalam keadaan yang sihat dan berkata kepadanya agar tidak berasa bimbang, kata Noor Farahin.
Selain mereka, lima lagi yang ditahan adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, aktivis-aktivis Pemuda parti itu N Gobalakrishnan serta Abdul Ghani Haroon, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan untuk membawa Gobalakrishnan dan Abdul Ghani ke depan hakim dalam permohonan habeas corpus mereka seperti telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam Jumaat lalu.
Hakim Abdul Malek Ahmad menangguhkan kes itu sehingga mahkamah bersidang secara penuh Isnin depan. Sidang penuh akan didengar di depan tiga orang hakim Mahkamah Persekutuan. Penangguhan itu diumumkan di kamarnya pagi tadi.
Hakim mahkamah Shah Alam, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, selepas itu mengumumkan kes itu akan didengar pada 15 Mei selepas selesai di Mahkamah Persekutuan.
Peguam dua tahanan itu R Sivarasa memberitahu akhbar, penangguhan itu hanya melibatkan perkara prosedur.

