Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor untuk BN dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.
    
"Saya yakin Ustaz Mat Razi merupakan calon BN yang paling 'sung' untuk PRK Pengkalan Kubor. Moga dapat mempertahankan kerusi BN," kata Najib yang juga Pengerusi BN dalam catatan di laman Facebook beliau.
    
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan Mat Razi, 48, bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat, sebagai calon BN bagi PRK itu 25 September ini.
    
Mat Razi adalah ahli Jawatankuasa Umno Tumpat. Beliau akan berdepan dengan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang merupakan setiausaha PAS kawasan Tumpat.
  
PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.
    
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun  Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
    
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkanhari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September.

- Bernama