"Saya akan banteras rasuah ke akar umbi." Saya masih ingat lagi ungkapan Pak Lah semasa beliau baru mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Majoriti rakyat merasa lega kerana Pak Lah memang serius untuk membanteras rasuah.

Walaupun saya tidak merasa yakin, tetapi naluri kecil saya terpanggil untuk memberi peluang kepada Pak Lah untuk melawan rasuah. Dan Pak Lah ketika itu ternyata serius untuk melawan rasuah. Ini dapat dibuktikan dengan pendakwaan terhadap Eric Chia dan Tan Sri Kasitan Gadam.

Tidak lama selepas itu, pilihanraya umum kesebelas diadakan. Rakyat diminta untuk memberi majoriti besar kepada Pak Lah demi melangsungkan agenda perjuangannya.

Barisan pembangkang terkial-kial untuk mencari isu kerana selama ini isu rasuahlah yang membuat Umno terpaksa melakukan perubahan pucuk pimpinan. Pilihanraya yang diadakan, walaupun banyak keraguan yang timbul, telah memberi mandat yang amat besar kepada Pak Lah.

Namun harapan rakyat yang mengharapkan kerajaan baru yang benar-benar bersih daripada gejala rasuah, tinggal sia-sia apabila beliau mengumumkan barisan kabinet baru yang turut mengekalkan menteri-menteri yang tahap kebersihan mereka masih diragui umum.

Inilah bezanya di antara Pak Lah dengan Anwar Ibrahim. Anwar sanggup mengambil risiko yang cukup tinggi dengan mengorbankan kebebasannya demi melawan rasuah. Semasa memangku jawatan Perdana Menteri, beliau telah meminda Akta Rasuah di Parlimen yang majoritinya tidak disokong oleh menteri-menteri kabinet.