Saya adalah salah seorang pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab. Pada 21 Mac lalu, saya telah mengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Sebelum pergi mengundi, saya telah memeriksa maklumat pengundian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengetahui tempat dan saluran mengundi. Ini telah memudahkan proses pengundian kerana saya tidak lagi perlu beratur untuk menentukan saluran pengundian.

Sebaliknya saya terus ke saluran pengundian. Saya telah beratur sebelum mengundi. Apabila giliran saya sampai, maka saya pun masuk dan menghulurkan kad pengenalan saya kepada pegawai pilihanraya.

Beliaupun menyemak daftar pemilih. Setelah nama saya dikesan dalam daftar pemilih maka beliau pun membaca nombor indek daftar pemilih, nama dan nombor kad pengenalan saya untuk disemak oleh wakil calon.

Sementara itu, pegawai di sebelah beliau akan mencatat nombor indek daftar pemilih (contoh : 1443) ke atas keratan kertas undi untuk simpanan SPR. Keratan tersebut mempunyai nombor siri kertas undi. Maknanya SPR tahu bahawa kertas undi bersiri 12345 adalah kepunyaan pengundi 1443! Jadi apakah undi anda rahsia?

Semasa program Keputusan Pilihanraya Ke-11 disiarkan secara langsung di TV3, seorang penonton menghantar e-mail kepada rancangan tersebut untuk dijawab oleh panel berkenaan. Malangnya ahli penal tersebut tidak menjawab soalan itu, bahkan telah menjawab secara berhelah.

Beliau berkata dalam proses pengundian itu, hanya pengundi dan Tuhan sahaja yang tahu pilihan pengundi. Sedih sungguh jawapan beliau itu.

Persoalannya adakah undi anda rahsia? Dan adakah anda akan mengundi lagi setelah mengetahui bahawa undi anda tidak rahsia lagi?