NGO Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) akan tetap meneruskan forum seperti yang dijadualkan meskipun dilapor dibatalkan ekoran dua daripada tiga panelis forum itu membatalkan penyertaan di saat-saat akhir.

Forum bertajuk Pas + Umno: Kemana hala tuju? itu dijadual berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada jam 8 malam ini.

NGO pro-Pakatan Rakyat itu ditubuhkan oleh ahli PAS bagi mengukuhkan kerjasama di antara Pakatan Rakyat melalui dialog dan wacana dan tidak merancang menjadi parti politik untuk menggantikan PAS.
 
Malaysiakini difahamkan tiga ahli panel akan hadir malam ini antaranya Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi dan seorang ahli akademik.

Sebelum ini tiga panelis yang diundang Naib Presiden Datuk Husam Musa, Ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Mujahid Yusof Rawa dan bekas ahli Majlis Syura Datuk Ahmad Awang.

Dalam kenyataan ringkasnya, Setiausaha PasMa Mohd Taib Ahmad PasMa berkata pihaknya akan menjawab semua tomahan dan laporan yang telah dilemparkan terhadap NGO itu.

Jelas fungsi PasMa

"Berikutan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyerang PasMa, maka PasMa akan meneruskan forum bagi menjelaskan kepada masyarakat fungsi dan barisan kepimpinan PasMa," katanya.

Semalam, Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli PAS tidak dibenarkan menyertai NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) kecuali mereka keluar dari parti Islam itu.
 
Bagaimanapun, dalam laman Facebook rasminya, Tuan Ibrahim berkata kenyataan beliau tentang penyertaan ahli PAS dalam PasMa telah dilaporkan secara tidak tepat.

"Ahli PAS tidak dilarang menyertai mana-mana NGO, bahkan dalam PAS pun terdapat pelbagai NGO yang ditubuhkan.

"Namun 'sekiranya NGO tersebut bertukar menjadi sebuah parti politik', maka ahli PAS dilarang menyertainya, melainkan ia bukan lagi ahli PAS," katanya.

Menurutnya lagi, ahli PAS diminta terus istiqamah dengan parti dan mengawasi usaha musuh untuk memecah-belahkan parti itu.