DAP hari ini mengecam seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MCA yang mendakwa seorang wakil rakyat PAS ingin memusnahkan patung Buddha jika parti Islam itu berkuasa di Pahang.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata Adun MCA bagi kawasan Indera Mahkota, Ti Liang Ker telah mengaku secara umum bahawa wakil rakyat PAS bagi kawasan Semantan Idris Omar tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu ketika sidang Dewan Undang Negeri (DUN) baru-baru ini.

"Apa yang terjadi di DUN Pahang pada Rabu lalu paling tidak bertanggungjawab dan keji - tindakan tidak berprinsip seorang Adun MCA, disokong pemimpin mereka di peringkat negeri dan kebangsaan, yang berbohong mengenai kenyataan Adun PAS (berhubung hal itu)," kata Lim dalam satu kenyataan kepada malaysiakini.

Akhbar-akhbar utama berbahasa Cina minggu ini melaporkan Idris pernah menyebutkan hal sedemikian. Laporan itu menyebabkan Pemuda DAP menghantar nota bantahan kepada rakan gabungannya itu dalam Barisan Alternatif dan wakil-wakil Barisan Nasional pula mengadakan sidang akhbar bersama sebagai bantahan.

Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock juga tidak berpuas hati dengan laporan itu dan menggesa PAS membuat penjelasan, khususnya kepada penganut agama Buddha.

Bagaimanapun dua hari lalu, Presiden Datuk Fadzil Noor menggesa akhbar-akhbar berbahasa Cina menjelaskan isu tersebut atau parti itu akan mengambil tindakan undang-undang.

Beliau juga menggesa Idris, yang juga Ketua Pembangkang di DUN Pahang, mengambil tindakan undang-undang jika isu itu terus berlarutan.

Menurutnya, laporan akhbar itu memberikan gambaran seolah-olah PAS tidak bertolak ansur terhadap penganut-penganut bukan Islam.

DAP menggesa pemimpin-pemimpin MCA memohon maaf kepada PAS kerana telah mengecam PAS berdasarkan kenyataan yang sebenarnya tidak pernah dibuat.

"Apakah mereka (MCA) bersedia untuk memohon maaf (kepada PAS) kerana kecaman mereka yang tidak berasas itu?" kata Lim lagi.