Keadilan - Apa akan jadi?
Kisah mengenai Lokman Noor Adam membuat saya terpanggil untuk menyatakan sesuatu mengenai Parti Keadilan Nasional. Kisah kemasukan Lokman ke dalam Umno tidak mengejutkan saya. Malah, gembira mendengar berita yang bekas ahli-ahli Umno ini, kembali semula ke pangkuan parti itu.
Di sinilah baru bermula era pembersihan parti daripada ancaman 'musuh dalam selimut'. Kemasukan beramai-ramai bekas ahli Umno ini baik untuk kestabilan parti. Ini juga dapat membersihkan saki-baki mereka yang sekadar inginkan publisiti murahan daripada gerakan reformasi yang didukung oleh Anwar Ibrahim.
Ini dapat dilihat daripada gerakan-gerakan kemerdekaan dahulu di mana segelintir bukan ahli parti turut menyertainya. Malah, ada yang sampai 20 hingga 30 tahun, kerana mahu mengintip kestabilan dan kedudukan kewangan parti.
Jadi, tidak peliklah apa yang berlaku terhadap Lokman, yang baru enam tahun menyertai Keadilan dan kini mahu kembali semula ke pangkuan Umno. Tahanan di bawah ISA selama dua tahun, bukan satu ukuran untuk menjadikannya seorang wira yang ingin membela nasib rakyat dan gerakan reformasi.
Bagi saya, mereka yang di luar daripada tahanan ISA itu adalah wira-wira rakyat yang terus memperjuangkan konsep reformasi dalam keadaan yang amat licik dan amat sistemetik.
Membuat kenyataan memburukkan parti, seperti soal kewangan dan segala macam lagi, adalah sesuatu yang serius dan amat mendukacitakan. Selepas dua hari kenyataan itu dibuat, Lokman secara terbuka menafikannya .
Memang, sebagai sebuah parti yang demokratik, ahli parti boleh mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai sesuatu yang terjadi. Tetapi kenyataan Lokman nampaknya tidak berasas langsung Malah, ianya dinafikan pula oleh beliau sendiri.
Itu bukan cara seorang ahli politik yang matang. Di sini kita dapat lihat mereka ini kurang pintar dalam membuat keputusan, tambahan pula apabila melibatkan kedudukan dan kestabilan parti.
Untuk parti Keadilan, saya ingin mengutarakan sedikit cadangan dan juga idea yang berguna untuk memperkemaskan parti.
1. Adakan kursus bagi kader, ahli, dan ahli yang baru menyertai parti dan juga membincangkan tentang konsep parti dan mengenai tokoh-tokoh kemerdekaan di dalam dan luar negara.
2. Membuat pemilihan bijak terhadap mereka yang ingin menyertai parti ini kerana berkemungkinan mereka adalah mata-mata gelap kerajaan ataupun mahu membuat intipan.
3. Mendidik ahli mengenai kedudukan parti dan perjuangan kemerdekaan bagi menajamkan pengetahuan mereka mengenai politik.
4. Menilai prestasi kepimpinan parti bagi memastikan parti dalam dalam keadaan baik dan saling tolong menolong antara satu sama lain.
Cadangan-cadangan ini bukannya sesuatu yang baru, tetapi sekadar peringatan supaya parti mendapat lebih perhatian daripada rakyat terutamanya.
Mengenai penggabungan Keadilan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), menjadi Parti Keadilan Rakyat, di sini saya ingin mengesa ahli-ahli Keadilan supaya mengambil ikhtibar daripada perjuangan PRM.
Walaupun dalam keadaan yang terhimpit dalam gerakan komunis dan sosialis di zaman 70-an, di mana pelbagai tohmahan dilemparkan oleh kerajaan terhadap PRM, tetapi parti itu masih boleh berdiri teguh untuk memperjuangkan nasib rakyat yang tidak terbela.
Walaupun ianya sebuah parti kecil dan sederhana, PRM boleh menyesuaikan diri dalam arena politik negara. Walaupun tidak memenangi sebarang kerusi di peringkat negeri mahupun Parlimen, parti sekecil ini masih mampu melahirkan anak muda yang tidak kenal penat lelah demi parti, walaupun tertindas.
Jadi, kepada bekas ahli Umno yang nampak begitu merasakan periuk nasi mereka kurang menyerlah di dalam Keadilan, bolehlah mengambil jalan mudah dengan menyertai semula Umno. Di sana, mereka akan menikmati pelbagai nikmat/projek daripada kerajaan Barisan Nasional.
Cuma perjudikanlah nasib anda dalam pilihanraya umum akan datang ini. Diterima rakyat atau ditolak rakyat adalah lumrah bagi ahli politik. Seperti kata pepatah, "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga". Apa akan jadi?

