Pak Lah warisi jejak Mahathir?
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam secara lisan tanpa sebarang dokumen dasar yang rasmi untuk menyokongnya. Ia memberi gambaran Umno tidak bersedia sewaktu beliau membuat pengisytiharan tersebut.
Setelah Pak Lah mengambilalih tampuk pimpinan Umno dan kerajaan pusat Barisan Nasional, dasar negara Islam Umno tetap tidak berubah. Dengan latarbelakang pendidikan agama, Pak Lah sepatutnya lebih arif dan bersedia membetulkan pengisytiharan negara Islam oleh Dr Mahathir.
Langkah pertama yang patut diambil oleh Pak Lah ialah mengarah jentera Umno supaya menyediakan satu dasar rasmi Negara Islam sebagaimana yang dilakukan oleh PAS.
Akan tetapi, Pak Lah tidak bertindak sedemikian selepas menjadi PM, tetapi hanya meneruskan langkah Dr Mahathir yang secara langsung menunjukkan beliau tidak mempunyai wawasannya sendiri dan tidak berkewibawaan sebagai seorang pemimpin yang mempunyai asas pendidikan agama.
Mengenai kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), boleh dikatakan kesemua rakyat tahu bahawa dakwaan terhadapnya adalah satu rekaan. Jika mengikut normal keadilan antarabangsa, kes ini sudah lama ditendang keluar oleh mahkamah yang adil.
Akan tetapi Pak Lah membiarkan kes ini berterusan dan ini menunjukkan Pak Lah sentiasa akur kepada kehendak Dr Mahathir. Ini adalah kerana Dr Mahathir mahu melihat DSAI menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah kangaroonya sebelum dibebaskan.
Kes rayuan dan ikatjamin DSAI menjadi bahan kelakar antarabangsa. Kekeliruan yang ditunjukkan oleh para hakim dan juga hakim yang tiba-tiba ghaib sewaktu berjalannya kes tersebut, mengambarkan kelemahan Pak Lah sebagai PM dan juga Menteri Dalam Negeri.
Beliau selaku ketua kepada jabatan kehakiman, tidak berupaya memberi arahan dan keputusan yang jelas dan di atas kemahuan beliau sendiri. Oleh yang demikian, hakim-hakim terbabit terpaksa meminta tunjuk-ajar daripada Tuan politik mereka apabila peguambela mengemukakan hujah dan bukti yang bernas. Di manakah kepimpinan Pak Lah?
Perlantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri, mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Pak Lah senantiasa di bawah telunjuk Dr Mahathir. Pak Lah mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mengumumkan perlantikan timbalannya kerana khabarnya beliau mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tempat tersebut.
Selain itu, Pak Lah tidak berupaya untuk menggantikan kesemua ahli kabinet tinggalan Dr Mahathir. Yang paling mengecewakan ialah Pak Lah terpaksa melantik sekutu rapat Dr Mahathir - Nor Mohamed Yakcop - untuk memegang jawatan sepenting Menteri Kewangan ke-2.
Umum mengetahui Nor Yakcop telah menyebabkan Bank Negara mengalami kerugian berpuluh billion ringgit setelah pertaruhannya dalam pasaran mata wang, gagal dan kegiatan ini dilindungi oleh Dr Mahathir sendiri.
Kekeliruan adalah perkataan paling sesuai untuk menghuraikan dasar ekonomi Pak Lah. Dua perkara yang berlaku melibatkan ekonomi kita akhir-akhir ini menunjukkan Pak Lah sangat keliru dan hanya mewarisi secara bulat-bulat dasar ekonomi Dr Mahathir.
Kenaikan harga kereta selepas pengumuman tarif baru oleh Pak Lah berikutan perjanjian Afta telah menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah Pak Lah tentang pengurangan tarif mengikut perjanjian Afta ataupun beliau hanya mengikut arahan Dr Mahathir supaya bertindak sedemikian untuk menyelamatkan projek kereta nasionalnya?
Rata-rata harga kereta di seluruh dunia turun akibat perjanjian setempat (regional) seperti Afta dan juga WTO. Di Singapura, harga kereta jatuh mendadak, misalannya, harga Toyota Corolla 1600cc pada 1995 adalah S$127,000 berbanding kini hanya berharga S$74,000 sahaja.
Kereta Nissan Cefiro pula hanya sekadar S$107,500 berbanding S$115,000 tiga tahun lalu (dipetik daripada Mailmoney, Malay Mail 12/1/04 - 'More affordable car'). Begitu juga di India, harga Honda City 1.5 Exi ialah 647,000 rupee atau RM53,377 (100 rupee = RM8.25) berbanding 667,000 rupee atau RM57,502 (dipetik dari Mailmoney, Malay Mail 'Honda Motor India to lower prices').
Selain itu, dasar mata wang Pak Lah yang tidak menentu ataupun langsung tidak ada, juga menunjukkan beliau terpaksa bergantung kepada dasar RM3.80 untuk AS$1.00 yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir.
Menurut analisa Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), ringgit Malaysia berada di tahap 20 peratus bawah-nilai (undervalue). Ini menyebabkan harga barang import naik secara mendadak dan di Malaysia boleh dikatakan kebanyakan barang kegunaan seharian diimport dari luar negara. Oleh itu, rakyat menanggung beban yang tinggi selepas Pak Lah mengambilalih jawatan menteri kewangan dan juga PM.
Bagi Pak Lah, beban tanggungan rakyat nampaknya tidak begitu penting jika dibanding dengan dasar kewangan Dr Mahathir yang diwarisinya. Jika kepentingan rakyat diutamakan, sudah tentu Pak Lah, selaku menteri kewangan, akan mengubal dasar RM3.80 untuk AS$1 supaya harga import barangan dapat diturunkan, juterus itu beban rakyat dapat dikurangkan.
Kewibawaan Pak Lah akan dipersoal jika beliau masih tetap tidak mengambil tindakan proaktif, terutama yang berkaitan dengan isu-isu penting seperti yang dijelaskan di atas. Jika beliau mempunyai wawasan dan berkarisma, keadaan seperti sekarang tidak mungkin berlaku.

