Diskusi reformasi Izzah di laman media Indonesia
Ein AzmiPublished: May 4, 2001 7:12 AM | Updated: Jan 29, 2008 6:21 PM
Laman web [#1]www.astaga.com[/#] mengendalikan ruangan ngobrol (bicara) bersama Nurrul Izzah Anwar sempena lawatan muhibbah puteri reformasi itu mengiringi Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Ismail ke Jakarta minggu ini.
Dalam temubual selama 35 minit itu, pengunjung laman mempersoalkan kemenangan parti Umno dalam pilihanraya lalu. Bagaimanapun, Izzah menjelaskan sebuah badan NGO, Asian Institute for Democratic Election membuat kesimpulan pilihanraya di Malaysia dijalankan secara tidak jujur dan adil.
Apabila pengunjung bertanya pengganti selepas Dr Mahathir Mohamad dan apakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi cukup reformis menangani politik Malaysia.
Beliau mengulas bahawa rakyat Malaysia mengharapkan pemimpin yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat. Pengganti Perdana Menteri itu perlu bersedia menerima teguran dan berusaha mempastikan reformasi membentuk sebuah negara yang lebih demokratik.
"Saya juga kecewa dengan apa yang dilakukan (Dr Mahathir) kepada rakyatnya sendiri," jawab Izzah apabila disoal adakah beliau membenci Perdana Menteri itu.
Beliau mendakwa Dr. Mahathir dan menteri-menteri kabinetnya mempraktikkan KKN (korupsi, kroni dan nepotisme) dan mengajak pengunjung tersebut melawat laman [#2]www.freemalaysia.com[/#] yang turut menyiarkan maklumat "kroni Mahathir".
Tambah Izzah, kunjungan beliau menemui presiden Manila, Joseph Estrada dan Cory Aquino dalam saat-saat yang genting (pada September 1998), "Ayah saya baru disekap (ditangkap) dan polisi (polis) mengawal rumah kami dengan ketat, hanya itu jalan keluar," ulas Izzah kepada salah seorang pengunjung laman.
Pengunjung yang hampir 60 orang itu juga bertanyakan khabar bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam penjara Sungai Buloh serta meminta disiarkan perkembangan terbaru Izzah (pengajian dan calon suami) serta foto buat tatapan pengunjung di laman media popular itu.
Liputan reformasi Malaysia mendapat liputan meluas daripada pihak media Indonesia semenjak Anwar melancarkan gerakan reformasi di negara ini.
View Comments0

