Era baru membawa cabaran baru yang memerlukan pendekatan baru. Keraguan terhadap keikhlasan perjuangan kita kepada bangsa, negara dan agama akan menjejaskan penerimaan rakyat terhadap kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan Umno memelihara tujuan utama penubuhannya untuk menyatupadukan bangsa bagi kepentingan bangsa, negara dan agama.

Hanya melalui perpaduan bangsa kita akan terus dapat membina sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama yang bersatu dan harmoni, maju dan makmur; diuruskan oleh sistem pemerintahan awam dan dapat membangunkan ekonomi secara moden. Hanya dalam persekitaran alam politik yang stabil kita dapat mengagihkan sumber-sumber negara untuk memenuhi keperluan harian rakyat di samping membangunkan prasarana mega bertaraf dunia.

Dasar Ekonomi Baru yang diterajui oleh Umno dengan matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat telah membuahkan kejayaan. Mereka yang telah berjaya melalui dasar tersebut haruslah mengambil tanggungjawab melonjakkan kejayaan bangsa. Mereka yang telah berjaya wajib merancang dan membuat sesuatu untuk bangsanya.

Mereka yang telah berjaya sebenarnya berhutang kepada bangsanya yang wajib dibayar melalui usaha-usaha yang berjaya untuk pengagihan peluang dan kekayaan kepada bangsanya. Mereka yang telah mendapat nikmat dari pelaksanaan dasar tersebut sewajarlah menjadi pemangkin untuk memesatkan lagi pembangunan bangsa. Individu Melayu tidak boleh memikirkan kejayaan dirinya sahaja tanpa memberikan sumbangan untuk sama-sama memajukan bangsanya. Mereka yang dahulu menerima nikmat haruslah kini bersedia untuk memberinya.

Sedarlah, kita hari ini lebih bertuah jika dibandingkan dengan kedudukan orang-orang tua kita semasa mereka giat memperjuangkan nasib bangsa melalui Umno. Kita bertuah kerana mempunyai pelbagai kemudahan untuk memudahkan kita memberi sumbangan yang lebih besar dan lebih bererti bagi memenuhi perjuangan parti.

Ingatlah betapa susahnya orang-orang tua kita semasa mereka bertungkus lumus menjayakan perjuangan bangsa. Mereka menghadapi segala kekurangan umpamanya dari segi kenderaan, alat-alat komunikasi, mahupun wang ringgit, juga tempat mesyuarat dan tempat-tempat penginapan semasa menghadiri Perhimpunan Agung Umno.

Oleh itu, pastikanlah tiap seorang daripada kita dengan keupayaan dan kemudahan yang ada sekarang dapat pula memberi sumbangan yang lebih besar dan lebih bermutu ke arah melonjakkan perjuangan kita bagi mencapai tahap martabat bangsa yang lebih tinggi - mencapai matlamat Wawasan 2020.

Orang-orang Melayu kini berada dalam proses transisi budaya dari masyarakat desa tani kepada masyarakat bandar teknokrat. Peralihan itu adalah hasil dari kejayaan usaha-usaha pembangunan yang dibawa oleh Umno. Bilangan penduduk desa kini semakin kecil. Masyarakat desa juga sedang melalui peralihan budaya sosial dan ekonomi yang akan mempengaruhi budaya politik mereka. Program-program Umno secara bijaksana dan berkesan perlu difikirkan supaya terus terangkai perkongsian bestari di antara rakyat dan parti yang selama ini menjadi asas kekuatan Umno.

Umno hendaklah menjadi sebuah organisasi yang dapat menawarkan khidmat bagi membantu semua lapisan rakyat. Umno wajib melaksanakan program-program atas nama parti yang dapat dikenal sebagai program yang dilaksanakan oleh Umno selain dari program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Umno bukan sebuah parti elitis untuk kumpulan atasan semata-mata. Kekuatan Umno datang dari rakyat biasa bawahan, dari kalangan petani, nelayan, peniaga kecil, kakitangan rendah kerajaan. Kembalilah kepada mereka. Dampinglah mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita.

Berkongsilah kemewahan yang ada dengan mereka. Tanamlah rasa kasih, sayang, menghargai dan menghormati mereka. Mereka adalah akar kekuatan kepada bangsa kita. Merekalah selama hari ini penyokong setia kita yang mungkin kini mula terasa berjauhan hati.

Kita harus yakinkan mereka bahawa masa hadapan Umno dan bangsa Melayu tidak harus dipergadaikan kerana tujuan sempit. Umno tidak ditubuhkan sebagai laluan kecil dan singkat untuk membawa beberapa individu mendapat jawatan dan kekayaan.

Umno adalah sebuah lebuh raya lebar dan panjang untuk laluan lebih besar membawa bangsa melintasi zaman dan menerokai masa, menuju mercu kegemilangan. Umno adalah organisasi bangsa - satu perkampungan umat Melayu dari pelbagai latar belakang sosial, pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan usia.

Umno adalah forum yang membolehkan orang muda melahirkan idealisme dan orang dewasa menurunkan pengalaman. Umno adalah institusi yang membolehkan pemikir mencetuskan ilham dan pelaksana merealisasikannya.

Umno adalah tempat bagi yang berada sedia menghulur dan bagi yang tiada dapat dibantu. Umno adalah saluran untuk teguran diberikan perhatian dan nasihat dijadikan panduan. Umno adalah persaudaraan yang merangkaikan talian ukhuwah sejati sesama bangsa. Inilah rupa bentuk dan wadah yang patut kita pupuk dan jadikan budaya di dalam Umno.

Umno tetap bersama Barisan Nasional. Umno tetap mengiktiraf dan mengamalkan muafakat Barisan Nasional dan perkongsian kuasa dalam kerajaan demi masa depan Malaysia. Generasi muda kita perlu mempertahankan dan memperteguhkan Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan bangsa Malaysia.

Generasi muda berperanan besar untuk menentukan kelangsungan penerimaan Umno dari segi organisasi dan perjuangan. Pimpinan muda yang dilahirkan selepas merdeka dan dewasa selepas Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan perlu memahami, menyelami, mendalami dan menghayati denyut jantung dan denyut nadi bangsanya.

Kenalilah mereka, kunjungilah mereka, dampingilah mereka dan menangilah hati mereka dengan tutur dan bahasa, sopan dan santun anak Melayu yang kenal akan akal dan budi, penuh beradat dan kaya beradab. Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan dengan Umno. Kembalilah kepada bangsamu dan berpeganglah kepada amalan agamamu.



Sedutan teks ucapan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri ABDULLAH AHMAD BADAWI, ketika merasmikan mesyuarat agung Pergerakan Pemuda pada 10 Mei 2000 di Kuala Lumpur.