Zahidi tidak perlu lepas jawatan exco pemuda
Adalah agak menarik apabila pelantikan Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai anggota exco Kerajaan Negeri Perlis turut menimbulkan persoalan sama ada beliau perlu melepaskan jawatan selaku exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menyarankan pendapat itu mungkin terlepas untuk melibat fakta bahawa situasi Zahidi adalah sama dengan mana-mana anggota kabinet, tidak kira pusat mahupun negeri, yang menyandang jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno atau lain-lain jawatan dalam parti.
Ini kerana kedudukan kedua-dua jawatan berkenaan tidak menimbulkan percanggahan kepentingan. Contoh yang paling hampir ialah kedudukan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo. Sepertimana Zahidi, beliau juga adalah anggota exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, memegang portfolio agama.
Beliau terus kekal dalam kedudukan tersebut walaupun telah dilantik sebagai menteri besar. Cuma kedudukan yang perlu dilepaskan oleh Zahidi ialah jawatan beliau sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kewangan II.
Ini kerana kedudukan beliau sebagai anggota exco negeri mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan dengan kedudukan beliau sebagai setiausaha politik. Sayugia diingatkan, dari segi hirarki jawatan setiausaha politik, hanya berada di bawah Setiausaha Parlimen sahaja. Oleh yang demikian beliau mempunyai sebab yang munasabah untuk melepaskan salah satu jawatan tersebut..

