Pelantikan enam anggota baru kabinet semalam menunjukkan kemurahan pemimpin Melayu terhadap MCA dan Gerakan walaupun kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, kata sebuah NGO Melayu kontroversi.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bagaimanapun menimbulkan persoalan sama ada kedua-dua parti itu berterima kasih terhadap langkah itu, dengan mengaitkannya dengan pendirian mereka menolak hudud.

“Adakah MCA dan Gerakan akan menimbang kemurahan tersebut atau mereka mengambil kesempatan itu untuk bergabung suara bersama DAP dan golongan bukan Islam yang lain untuk mempertikai Islam dan hak Melayu serta bumiputera?” Abdullah Zaik Abd Rahman dipetik sebagai berkata oleh ISMAweb.

Najib semalam melantik enam pemimpin MCA dan seorang daripada Gerakan ke kabinetnya.

Mereka yang dilantik menteri ialah Datuk Seri Liow Tiong Lai (pengangkutan), Datuk Wee Ka Siong (Jabatan Perdana Menteri atau JPM) dan Datuk Mah Siew Keong (JPM).

Tiga timbalan menteri baru pula ialah Datuk Lee Chee Leong (perdagangan antarabangsa dan industri), Datuk Chua Tee Yong (kewangan) dan Chew Mei Fun (pembangunan wanita, keluarga dan mMasyarakat.

Abdullah Zaik berkata, sebagai parti yang bergabung dalam kerajaan memerintah, menjadi kesilapan bagi MCA dan Gerakan menjadikan permusuhan terhadap Islam, keistimewaan Melayu serta bumiputera sebagai modal menarik balik undi masyarakat Cina.

“Ini kerana MCA dan Gerakan sepatutnya memilih untuk mewakili kaum Cina yang setia kepada perlembagaan dan cinta kepada perpaduan dan keharmonian,” ujar beliau.