Ekonomi pulih 58 peratus

3:50pm, SAB : Ekonomi negara dijangka mengalami pemulihan 58 peratus tahun ini, berbanding hanya 54 peratus tahun lepas. Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, berkata demikian ketika menjawab isu-isu ekonomi yang ditimbulkan oleh perwakilan Umno.

Bendahari parti itu juga menyarankan orang ramai agar membelanjakan wang dan bukannya menyimpan di bank. "Tolong belanja duit yang kerajaan berikan," katanya.

Beliau mengkritik bank kerana gagal membantu usahawan Bumiputera. "Bank-bank tidak ada belas kasihan. Apabila (bank) susah, kita (kerajaan) tolong tetapi apabila senang, mereka biarkan kita (Umno)," kata Daim.

PM gulung ucapan jam 4

3:40pm, SAB : Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dijangkakan menyampaikan ucapan penggulungan bagi persidangan Umno kali ke-54 yang bermula Khamis lalu pada jam 4 petang nanti. Ucapan ini akan turut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen.

Media 'tukang karut' zaman IT: Daim

3:30pm, SAB : Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, menyelar laporan media asing yang menyebutkan beliau mempunyai masalah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Mereka (media asing) tukang karut zaman IT (teknologi maklumat)," katanya. "Sekejap nak berhenti, sekejap ada rift (perselisihan dengan Mahathir)."

Dua hari lalu, tiga agensi berita asing, Reuters , CNN dan Financial Times , melaporkan 'ura-ura pasaran' bahawa beliau dan Perdana Menteri mempunyai masalah dan mungkin akan meletakkan jawatan.

"Jangan peduli tukang karut itu. Saya akan terus bekerja keras untuk Umno dan Melayu," kata Daim lagi.

Daim jawab isu ekonomi

3:15pm, SAB : Menteri Kewangan dan juga Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin sedang menjawab beberapa isu ekonomi yang dibangkitkan oleh perwakilan.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Datuk Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Dr Abdul Hamid Othman menyampaikan hujah masing-masing.

Sidang sambung jam 2:30

1:20pm, SAB : Seramai sembilan perwakilan menyampaikan pandangan masing-masing dalam sesi pagi yang tamat jam 12:45 tengah hari. Persidangan bersambung jam 2:30 petang.

Menurut jadual, anggota Majlis Tertinggi akan menjawab beberapa isu yang dibangkitkan para perwakilan.

Pangkalan data bagi penentang Umno

1:15pm, SAB : Mereka yang "menentang Umno" disaran disenaraikan dalam pangkalan data parti itu agar memudahkan kerajaan mengagihkan peluang ekonomi kepada penyokong Umno sahaja.

Cadangan ini dikemukakan oleh perwakilan Perlis, Khalid Bulat, bagi mengelakkan penentang Umno mendapat manfaat ekonomi negara.

Beliau juga merungut bank perdagangan kini semakin sukar meluluskan pinjaman kepada usahawan Umno sejak penggabungan.

Idea yang sama juga disuarakan sebelumnya oleh perwakilan Terengganu, Rosli Mat Hassan, yang mahukan kelulusan permit, lesen dan pendaftaran diutamakan kepada penyokong parti itu.

Perwakilan kecam 'parti millennium'

12:05pm, SAB : Seorang perwakilan Umno dari Kepong, Redzuan Abdul Hamid, mengecam pesta alaf baru yang dianjurkan sempena sambutan 1 Januari tahun ini.

Beliau yang membahaskan isu agama menjelaskan pesta tarian jalanan itu tidak sewajarnya diadakan secara besar-besaran pada bulan Ramadan dan disajikan minuman keras.

Redzuan juga menyebutkan pesta bebas di sebuah hutan simpan di Ulu Klang bulan lalu, sambil menyarankan agar kerajaan melakukan overhaul (semakan) dasar penerapan dan penghayatan Islam.

Masalah Umno tidak selesai, kata Mat Taib

12pm, SAB : Naib Presiden Umno yang baru dipilih semula, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, hari ini mengaku bahawa masalah dalam parti itu sukar sekali diselesaikan. Memang menjadi lumrah pencapaian parti politik mengalami naik-turun, tambahnya kepada wartawan di luar dewan, mengulas keadaan Umno sejak krisis politik melanda parti itu pada September 1998.