Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa pegangan konsesi untuk projek pembinaan kampus Universiti Teknologi MARA di Seremban 3 diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan saudara seorang bekas menteri.

Beliau menimbulkan dakwaan itu hari ini dalam siri pendedahannya berhubung enam konsesi untuk kampus baru UiTM.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa salah seorang pengarah syarikat, yang didaftarkan di Kuala Lumpur dan memegang konsesi berjumlah RM1.5 bilion untuk kampus tersebut, ialah seorang bekas pemimpin Umno cawangan di Kuala Lumpur.

Rafizi mendakwa ahli politik itu juga seorang pengarah di sebuah lagi syarikat berpengkalan di Kuala Lumpur, yang memiliki 29 peratus pegangan dalam syarikat pemegang konsesi utama.

Malaysiakini tidak mendedahkan identiti pengarah itu sehingga memperoleh jawapan daripada individu berkenaan.

Rafizi juga menyatakan kembimbangan ke atas syarikat yang memiliki 29 peratus pegangan dalam syarikat pemegang konsesi utama, yang digelarkannya sebagai "syarikat RM2".

Ia kerana, syarikat tersebut hanya memiliki dua orang pemegang saham dan tidak mempunyai apa-apa penyata kewangan, seperti ditunjukkan melalui semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dakwanya.

"Penetapan untuk konsesi ini menunjukkan bagaimana kapatalisme kroni digunakan di Malaysia untuk memperkayakan ahli politik yang rapat dengan Umno," katanya.

[Baca berita penuh]