Persetujuan kepada pembina Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) hanyalah dari segi prinsip dan bukannya persetujuan penuh kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut beliau, kerajaan negeri masih perlu memantau segala aspek kecil dan impak kepada trafik serta sosial sebelum memberi kebenaran sepenuhnya untuk pembinaan Kidex.

"Kita hanya beri kelulusan dari segi prinsip. (Mereka tunjuk) jalan lingkaran yang hendak dibina sebagai sistem penyebaran trafik.

"Persetujuan ini bergantung kepada kos, penilaian trafik serta penilaian impak kepada masyarakat dan keadaan alam sekitar," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco negeri hari ini.

Khalid turut mengumumkan Selangor secara rasmi telah memanggil Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menerangkan kepada rakyat mengenai cadangan pembinaan Kidex.

Menurutnya, LLM sebagai badan berkanun dan pemilik lebuhraya negara ini perlu memainkan peranan penting bagi mengelakkan orang ramai dikelirukan.

"Saya dapati rakyat keliru atau dikelirukan oleh pihak yang berkepentingan sama ada yang menyokong atau menentang cadangan pembinaan lebuh raya ini," kata beliau.

Khalid meminta agar orang ramai tidak panik dan membiarkan pihak berkewajipan untuk melaksanakan kerja mereka.

Beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri mempunyai hak untuk tidak membenarkan Kidex dibina sekiranya tidak mengikuti syarat.

"Kita turut difahamkan syarikat konsesi (Kidex) setakat ini belum menghantar Laporan Penilaian kesan Alam Sekitar, Laporan Penilian Kesan Sosial dan Laporan Penilaian Kesan Trafik kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya," katanya.

Pembinaan Kidex sepanjang 14 kilometer, dijangka bermula tahun depan dengan anggaran kos RM2.2 bilion dan dijangka mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Lebuhraya Kidex akan menghubungkan persimpangan Damansara-NKVE di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di utara ke Bandar Kinrara di selatan.

Pembinaan ini telah mendapat bantahan dari DAP Selangor serta penduduk kawasan sekitar yang telah menubuhkan NGO "Katakan Tidak kepada Kidex" (Say no to Kidex) yang aktif membantah setiap kali Kidex membuat pertemuan bersama penduduk.

LLM akan menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok bagi membincangkan pendapat mereka dengan kerajaan negeri.