Amran Jan

Adalah dimaklumkan bahawa pada 6  Mei 2014, saya sebagai seorang pemandu teksi yang sah telah menghantar satu notis (melalui peguam)  kepada Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menuntut penjelasan berkaitan peraturan atau undang-undang yang mengesahkan penggunaan sistem kupon dalam industri teksi negara.
 
Satu salinan juga telah diberikan kepada perdana menteri, menteri pengangkutan serta ketua pengarah Biro Pengaduan Awam.
 
Saya beranggapan bahawa sistem kupon ini adalah membebankan serta mengelirukan penumpang tempatan dan juga asing. 
 
Ia secara realitinya telah memberikan imej buruk terhadap mutu perkhidmatan teksi negara.
 
Saya juga beranggapan bahawa sistem kupon ini tidak selari/bercanggah dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (teksi menggunakan kadar tambang meter).
 
Saya yang telah menjadi pemandu teksi untuk selama 10 tahun, merasa amat kecewa kerana setelah sebulan lebih berlalu namun Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar kekal mengambil pendekatan berdiam diri serta gagal memberi sebarang maklum balas terhadap tuntutan ini.
 
Perlu dijelaskan bahawa isu sistem kupon ini hangat diperdebatkan bermula dari tahun 2010 lagi. 
 
Namun, tidak ada mana-mana pihak berkepentingan atau pihak yang berkuasa khususnya SPAD, menyatakan dengan jelas wujudnya peraturan-peraturan atau akta yang membenarkan operasi Sistem Kupon ini.
 
Jika ada pun penjelasan dari pihak SPAD, ia lebih kepada kenyataan bersifat dolak-dalik serta bias kepada kepentingan politik.
 
Saya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh pihak SPAD sehingga dilihat begitu sukar untuk memberikan jawapannya?
 
Adakah SPAD tidak diperuntukkan bidang kuasa untuk mencampuri urusan perniagaan sistem kupon yang diketahui umum operatornya adalah pihak pengusaha teksi ini?
 
Senario perkhidmatan teksi negara dari dahulu sehingga ke hari ini, jelas menunjukkan bahawa pihak pengusaha teksi terlalu mendominasi industri ini, khususnya dalam perniagaan sistem kupon!
 
Apakah SPAD ini dikuasai oleh persatuan pengusaha teksi?
 
Siapakah sebenarnya yang berkuasa dalam industri teksi negara, SPAD atau persatuan pengusaha teksi?
 
Sekiranya Syed Hamid tidak berkemampuan untuk mengambil tindakan segera serta tegas bagi menghentikan sistem kupon ini, beliau saya anggap sebagai individu yang tidak layak bagi jawatan pengerusi SPAD.
 
Saya sarankan agar Syed Hamid meletakkan jawatan.
 
Dan jika keseluruhan SPAD tidak berupaya berfungsi sebagai badan yang diamanahkan oleh kerajaan bagi mengawal selia serta menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam negara, maka organisasi ini seharusnya dibubarkan saja.