Seorang wanita, M Indira Gandhi menuntut agar polis menahan bekas suaminya yang merupakan seorang mualaf kerana enggan mematuhi perintah mahkamah untuk mengembalikan anaknya.

Ketika dihubungi, peguamnya, M Kulasegaran memberitahu Malaysiakini bahawa K Pathmanathan @ Muhammad Ridhuan Abdullah "tidak bersedia" untuk mengembalikan kanak-kanak tersebut.

Kulasegaran berkata perkara itu disampaikan kepadanya di Ipoh pagi ini melalui peguam Pathmanathan, Anas Fauzi dengan disaksikan Indira dan seorang lagi peguam, A Sivanesan.

"Selepas ini, Indira akan membuat laporan polis agar Pathnamanathan ditahan sehingga beliau tidak lagi menghina mahkamah," tambahnya.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari Jumaat lalu mendapati Pathmanathan menghina mahkamah kerana enggan mematuhi keputusan mahkamah pada 2010 yang memberi hak jagaan anak kepada Indira.

Mahkamah memberikan tempoh satu minggu kepada Pathmanathan untuk memulangkan kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Polis akan mengeluarkan waran tangkap ke atas bapa kanak-kanak tersebut kerana menghina mahkamah.

Kulasegaran berkata, perkara tersebut disampaikan oleh Anas kepada bapa tersebut, yang masih enggan memulangkan anak berkenaan.

[Baca berita penuh]