Orang Islam juga punya hak
Di dalam Perlembagaan Negara, Islam disebut sebagai agama rasmi negara ini. Tetapi, apakah hak umat Islam terpelihara dalam melaksanakan kehidupan berasaskan ajaran agama mereka?
Bolehkah umat Islam yang bekerja sebagai paramugara atau paramugari menolak daripada menghidangkan arak kepada pelanggan syarikat penerbangannya? Apakah mereka terpaksa kehilangan pekerjaan dan pendapatan semata-mata mahu menunaikan ajaran Islam yang melarang umatnya menghidangkan arak atau terbabit di dalam segala aktiviti arak?
Terdapat majikan yang menghalang pekerja mereka daripada menunaikan Solat Jumaat setiap minggu, malah ada yang tidak langsung membenarkan pekerja mereka mengerjakan solat lima waktu di dalam waktu kerja. Malangnya, tiada undang-undang yang melindungi hak pekerja ini daripada halangan terhadap amalan beragama ini.
Terdapat ramai kakitangan wanita Islam yang bekerja dalam pasukan polis yang tidak dibenarkan menutup aurat semasa bekerja. Bagaimana pula hak umat Islam untuk diadili berdasarkan undang-undang jenayah syariah yang mereka imani sebagai sebahagian daripada ajaran Islam? Pastinya senarai ini tidak terhenti di sini.
Saya menyatakan ini kerana secara umumnya ramai yang berpendapat sekiranya Negara Islam ditegakkan, maka orang bukan Islam akan kehilangan hak mereka. Bagaimanapun, hak yang dipertahankan itu bukanlah hak untuk melaksanakan suruhan agama mereka, tetapi sekadar hak untuk melakukan perkara yang dibenarkan oleh agama mereka, seperti berjudi, minum arak, berjoget, dan seumpamanya.
Tetapi adakah mereka terfikir bahawa orang Islam telah ternafi hak mereka untuk mengamalkan suruhan yang diwajibkan oleh Islam di dalam negara ini sekarang. Undang-undang negara tidak berpihak kepada mereka bagi mempertahankan hak mereka untuk mengamalkan ajaran Islam sepertimana yang dituntut oleh agama.
Kekadang rakyat terkeliru, adakah hak untuk minum arak yang dibenarkan kepada penganut bukan Islam itu, lebih besar dan utama berbanding hak untuk umat Islam menutup aurat yang menjadi suruhan wajib.
Padahal, dalam sebuah Negara Islam, bukan Islam boleh saja minum arak sebanyak yang mereka mahu, asal jangan terlalu dipertontonkan kepada umum, terutamanya di khalayak Islam bagi menghormati perasaan mereka. Apakah terlalu sukar untuk bertolak ansur dalam perkara ini?
Lebih aneh, adanya umat Islam yang bertanyakan hak mereka untuk tidak menerima pakai peraturan Islam di dalam sebuah Negara Islam. Tentunya, lebih relevan kalau disoal sama ada umat Islam (yang tidak sekular) diberi hak untuk tidak menerima pakai peraturan sekular, sepertimana bukan Islam diberi hak untuk tidak menerima pakai peraturan Islam. Soalan ini bunyinya tentu lebih adil dan tidak aneh.

