Puteri Umno didakwa berkempen dalam pilihanraya kampus
Kelmarin, sebaik sahaja selepas mengundi, anak saya yang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghantar SMS mengatakan dia kena bersedia secara psikologi untuk dibuang kolej kediaman bagi tahun depan.
Katanya, nombor siri dalam kertas undi dicatatkan pada senarai nama/kad metrik semasa hendak membuang undi. Ertinya pihak universiti dapat mengetahui siapa yang tidak mengundi kumpulan yang secara terang-terang disokong oleh pentadbiran universiti/Pejabat Hal Ehwal Pelajar UKM.
Sebelum inipun, mahasiswa sering diberitahu bahawa mereka yang menyokong 'pembangkang' akan disingkirkan daripada kolej kediaman.
Alangkah hapraknya pilihanraya yang sedemikian! Amat malang institusi yang diharapkan untuk menyumbang ke arah kelangsungan masyarakat madani dipergunakan sedemikian rupa oleh pencacai politik yang tidak pun berani turun ke gelanggang politik perdana untuk berpencak sebagai pendekar tulen.
Lebih malang lagi apabila anak-anak muda kita telah ditaja dan diajar untuk berpolitik secara mengampu dan bersekongkol dengan pihak pentadbir universiti.
Terus terang saya katakan bahawa pada mulanya saya tidak mahu mencampuri pilihan politik anak saya ketika di universiti. Dia seorang yang boleh berfikir dan boleh membuat keputusan. Dia juga seorang yang aktif di universiti yang bekerjasama rapat dengan program-program Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP).
Bagaimanapun, dia sering menceritakan tentang amalan-amalan luarbiasa PHEP dalam politik kampus yang secara terang-terangan mengugut pelajar, berkempen untuk Kumpulan Aspirasi, dan membawa masuk Puteri Umno ke dalam kampus untuk berkempen.
Berdasarkan keterangannya itu, saya mengingatkan bahawa adalah salah untuk menyokong kerja-kerja menyeleweng seperti itu kerana kita kena menjawab di depan Rabbul Jalil nanti akan apa yang telah kita lakukan sekarang.
Saya fikir sebagai seorang anak dan mahasiswa yang matang, dia telah membuat keputusan sendiri bukan sangat untuk menentang Kumpulan Aspirasi (kebanyakannya kawan-kawan beliau), tetapi kerana enggan bersekongkol dengan amalan penyelewengan seperti itu.
Dan lebih daripada itu, saya fikir kerana dia takut kepada 'dosa' yang harus dipertanggungjawabkan ke atasnya kelak. Saya amat berbangga dengan pendirian anak saya itu. Dalam perbualan telefon selepas menerima SMS tersebut, saya katakan bahawa tidak mengapa jika disingkirkan daripada kolej kerana berpegang kepada prinsip yang benar.
Kata saya lagi, biarlah mereka yang menzaliminya menjawabnya di akhirat kelak.

