Sultan Selangor hari ini mahu wakil rakyat tidak berbalah mengenai perkara yang tidak berfaedah sebaliknya menjalankan tugas untuk negeri bersama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah perasmian mesyuarat pertama penggal kedua sidang dewan negeri Selangor berkata baginda mahu semua ahli exco dan ADUN bekerjasama dan bersatu untuk memajukan negeri dan bukannya bersengketa tanpa sebab.

"Wakil-wakil rakyat janganlah bercanggah dan berbalah mengenai perkara yang tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah menjalankan tugas-tugas mereka untuk kebaikan serta kesejahteraan rakyat dan Negeri Selangor,” titah baginda.

Seruan itu ditujukan kepada semua exco, wakil rakyat, penjawat awam, sektor korporat dan swasta, serta pemimpin masyarakat.

Isu menteri besar Selangor kerap dibangkitkan selepas Pakatan Rakyat mempertahankan pentadbiran negeri pada pilihan raya umum ke 13 tahun lalu.

Khalid dikatakan tidak popular di kalangan partinya sendiri PKR sehingga beberapa rancangan untuk menggantikan beliau dilaporkan media.

Sultan turut meluahkan rasa syukurnya kerana kerajaan negeri berjaya mendapat persetujuan pusat untuk mengambil alih empat syarikat air dengan termeterainya memorandum persefahaman (MOU) kedua-dua pihak pada 26 Februari lalu.

Baginda turut melahirkan perasaan teruja dengan projek Projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS 600), di Lembangan Sungai Selangor di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya Kuala Selangor dan berupaya mengeluarkan sebanyak 600 juta liter air mentah sehari.

“HORAS akan mengurangkan risiko kebergantungan kepada lepasan air empangan serta kaedah penakungan ini juga akan dapat mengelakkan pembaziran air,” titah baginda.

Doakan MH370

Sultan turut meluahkan rasa terharu baginda berikutan insiden kehilangan pesawat MH370 bulan lalu.

“Beta turut merasa sedih dan simpati terhadap keluarga penumpang dan krew Pesawat MH370.

“Beta mendoakan supaya pencarian ini akan mendapat jawapan yang pasti dan memuaskan semua pihak, terutama kepada mereka yang sedang tertunggu-tunggu,” titah baginda.