AirAsia Bhd hari ini memperjelaskan laporan yang menurutnya mungkin memberi tanggapan bahawa ia bersikap degil dan sengaja enggan berpindah ke KLIA2 yang dijadualkan dibuka pada 2 Mei, tetapi sebaliknya berkata terminal penerbangan tambang murah baru itu perlu menangani kebimbangan berhubung kefungsian dan keselamatannya.
 
"Kami sudah bersedia dan komited untuk memanfaatkan KLIA2 sebaik-baiknya meskipun ia bukanlah rekabentuk yang kami mahu, dan ia bukan lagi terminal penerbangan kos rendah (LCCT) seperti yang dijanjikan pada awalnya oleh Malaysia Airports Holdings Bhd," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar hari ini.
    
"Kami lebih daripada bersedia untuk berpindah ke KLIA2 tetapi kami mesti berpindah dalam keadaan yang sesuai (kerana) kami akan menjadi penyewa utama lapangan terbang baru itu, dan menyumbang lebih daripada 80 peratus lalulintas KLIA2.
    
"Disebabkan itulah, KLIA2 perlu praktikal dari segi kefungsian dan operasi," katanya dalam satu kenyataan.  
    
Daripada artikel yang disiarkan, mungkin dianggap AirAsia sengaja enggan berpindah ke KLIA2 atau sengaja memberi masalah "tetapi saya jamin bahawa itu bukanlah niat kami."
    
Beliau berkata keprihatinan ini "amat penting untuk memastikan anggota kami bekerja dengan cekap, dan penumpang kami mengalami perjalanan yang lancar."
    
Sebelum ini, AirAsia ada berkata ia akan terus kekal di LCCT sekarang selepas 9 Mei, meskipun kerajaan mengumumkan ia akan ditutup pada tarikh itu.
    
Memandangkan keadaan ini, Aireen merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk campurtangan dalam menyelesaikan apa yang disifatkannya sebagai isu negara.  
    
Beliau berkata KLIA2 berpotensi menjadi sebuah hab penerbangan global, sama seperti Dubai dan sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbesar di rantau ini, AirAsia "boleh dan akan menyumbang ke arah menjadikannya satu realiti, dan secara langsung meningkatkan industri penerbangan pada keseluruhannya."
    
"Tahun ini, kami menjangkakan untuk membawa sekurang-kurangnya 24 juta penumpang melalui Kuala Lumpur, dan dengan operasi bersaiz begini, kami perlu memastikan lapangan terbang itu berfungsi sepenuhnya tanpa kemungkinan berlaku sebarang gangguan," tegasnya.
    
- Bernama