Kementerian Dalam Negeri (KDN) disaran supaya menguruskan kebanjiran pengawal keselamatan asing walaupun lesen syarikat keselamatan mensyaratkan hanya rakyat Malaysia diambil bekerja.

Saranan itu adalah antara cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bagi meneliti isu kawalan keselamatan di sekolah seperti diserlahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Menurut Nur Jazlan, perkara itu disedari Kementerian Pendidikan sewaktu ia membuat keputusan untuk menamatkan kontrak syarikat keselamatan sekolah yang tidak mematuhi syarat berkenaan.

"Masalah yang dihadapi terlalu banyak lesen diberikan KDN sehingga menyebabkan kurang kualiti dan ada juga ketidakpatuhan terma kontrak," katanya.

Bagaimanapun katanya, PAC tidak bercadang untuk memanggil KDN memberikan penjelasan kerana masih banyak dapatan lain Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang perlu diteliti.

Beliau sebelum itu mendengar selama kira-kira satu jam 30 minit penjelasan Menteri Pendidikan 11, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha 1 Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha 2 Kementerian Pendidikan Prof Datuk Dr Zaini Ujang, dan Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia Datuk Shaheen Mirza Habib.

Sementara itu, Nur Jazlan menjelaskan bahawa kementerian pendidikan memaklumkannya satu jawatankuasa kerja diketuai Dr Madinah telah dibentuk untuk meneliti isu tersebut.

"Datuk Madinah mengakui kelemahan yang telah berlaku dan beliau mengetuai pasukan petugas kementerian pendidikan untuk menyiasat dan membuat aktiviti susulan terutama pematuhan kepada kontrak kawalan dan pematuhan kepada sistem perolehan," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan salah pengendalian teruk sehingga RM2.051 bilion dalam mengupah kontraktor keselamatan untuk sekolah antara 2010 hingga 2012.

Daripada penyediaan kontrak sehingga mengambil pengawal keselamatan, ketua audit negara berkata, pengurusan perkhidmatan keselamatan di 35 sekolah  dan asrama yang ditinjau rata-rata tidak memuaskan.

Audit yang melibatkan sekolah di Selangor, Perlis dan Sabah, mendapati kontraknya tidak seragam.