Pemuda Umno menggesa pihak pengurusan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) untuk mengkaji semula sistem pengagihan rumah tersebut yang dibuat secara cabutan.

Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin berkata cara pengagihan tersebut "tidak menjamin" sekurang-kurangnya 30 peratus pembeli bumiputera dan golongan muda yang memilikinya, seperti sistem kuota.

"Pemuda Umno membuat ketetapan pihak PR1MA untuk mengubah sistem pengagihan rumah... Perlu ada kuota kerana ia melibat rumah kawasan bandar.

"Pelancaran projek PR1MA, ia akan diberikan kepada pemohon yang berjaya dalam cabutan. Ia boleh berlaku di mana tidak sampai 30 peratus (bumiputera dan golongan muda memilikinya)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno di PWTC petang ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan - yang membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat itu bersama Pemuda Kedah - untuk menghantar memorandum mewakili Pemuda Umno kepada pihak PRIMA bagi menyatakan bantahan mereka.

"Kita akan hantar memorandum, kita tidak bersetuju dengan sistem pengagihan PR1MA," kata Khairy.

Beliau yang juga menteri belia dan sukan berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

"Kita akan pastikan pemohon boleh mendapat rumah tersebut. Cabutan tidak menentukan bahawa golongan muda dan bumiputera dapat.

"Projek itu tak ada kuota, kalau boleh ia ada sekurang-kurang 30 peratus untuk bumiputera dan 30 peratus untuk golongan muda," katanya sambil menambah kumpulan tersebut amat memerlukan rumah khususnya di kawasan bandar ketika ini.

Memorandum itu akan dihantar pada Isnin minggu depan.