Kenyataan naib presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib bahawa Barisan Alternatif (BA) kehilangan modal, dianggap sebagai tidak masuk akal. Pandangan beliau terhadap niat BA untuk mendapat maklumbalas dari rakyat jelata apabila mengubalkan manifesto pilihanraya membuktikan pemimpin Umno jahil tentang semangat dan ertikata demokrasi.

Dalam dunia informasi ini, manusia sudah berilmu dan matang. Maka berkongsi pandangan, idea serta fikiran merupakan tindakan tepat dan betul apabila sesuatu manifesto digubalkan.

Dengan pelbagai maklumat yang diterima melalui dialog dengan rakyat, mutu manifesto itu senang diterima oleh rakyat. Jika diambil kira tenaga dan buah fikiran rakyat, maka akan berkuranganlah tentangan apabila hendak dilaksanakan kelak.

Ianya tidak seperti Umno dan Barisan Nasional (BN) di mana rancangan dan program dilaksanakan secara terpaksa, mengakibatkan tentangan rakyat dan juga kegagalan mencapai matlamatnya.

Projek makmal komputer merupakan contoh terkini, yang menghadapi pelbagai masalah, seperti bangunan runtuh, penyelewengan, dan mungkin rasuah.

Begitu juga dengan rancangan mengunakan Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Apabila dilaksanakan secara terdesak tanpa mengambil kira pandangan rakyat, sebahagian besar mereka menentang pelaksanaannya.

Sebenarnya, Umno segan silu berdepan dengan rakyat dalam usaha mengubal manifesto mereka, kerana seribu satu soalan akan dikemukakan oleh rakyat yang mana mereka tidak boleh memberi jawapan memuaskan .

Semua ini akan membongkarkan kelemahan dan ketiadaan modal politik di dalam Umno. Kalau Muhd Taib telus dengan kenyataannya, sila adakan perjumpaan dengan rakyat untuk jawab soalan mengenai isu penting yang bersangkut paut dengan kepimpinan Umno dan BN.