Tawaran sebanyak RM300,000 dan sebuah rumah kepada ahli Parti KeADILan Nasional yang menyertai Umno merupakan agenda utama Barisan Nasional bagi menghadapi kempen pilihanraya kecil Telok Kemang.

Ketua Pemuda KeADILan Selangor, Idrus Wan Chik, memberitahu malaysiakini, Umno masih menggunakan 'taktik wang' seperti itu bagi mencapai matlamat politiknya.

Beliau mengulas berita bekas setiausaha pergerakan itu, Wan Indra Putra Ahmad yang mengisytiharkan keluar parti itu Selasa lalu kerana 'terdesak' untuk mendapatkan tawaran lumayan tersebut.

"Beliau telah menemui saya dan memberitahu tentang tawaran tersebut. Saya menasihatkan beliau supaya berfikir semula kerana dalam perjuangan, kita perlu banyak bersabar," dakwa Idrus.

Apabila ditanya sama ada beliau turut menerima tawaran yang sama, beliau tidak menafikan telah menerima pelbagai tawaran.

Bagaimanapun, Idrus menegaskan beliau tidak sanggup menggadaikan maruah dan terjerat dalam mainan Umno menjual beli maruah KeADILan Tindakan itu merupakan sikap yang tidak wajar bagi sebuah parti yang mengaku memperjuangkan nasib bangsa, katanya.

Tindakan Wan Indra melompat menyertai Umno dikatakan akibat hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan KeADILan.

Sementara itu Setiausaha Penerangan Pemuda KeADILan, Nordin Ahmad, mengambil langkah yang sama dengan alasan "tidak sanggup melihat penipuan dan penindasan pemimpin KeADILan terhadap ahli-ahli dan penyokongnya sejak gerakan reformasi dilancarkan 2 September tahun lalu."

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, Nordin berkata beliau percaya selepas ini akan dituduh telah "dibeli oleh Umno kerana memang inilah cara mereka (KeADILan) ...suka menfitnah."

Tambah laporan itu, beliau tidak mempedulikan tuduhan-tuduhan itu kerana tindakan beliau didorong rasa "keinsafan dan kesedaran" serta tidak mahu terus mengabui mata rakyat dan penyokong KeADILan.

Dalam sidang akhbar di pejabat Umno Telok Kemang, Nordin mendedahkan sikap tidak prihatin pemimpin KeADILan terhadap penyokong-penyokong reformasi yang ditahan polis dan sebaliknya lebih mementingkan urusan perniagaan mereka di Indonesia.

Nordin juga memberitahu, beratus-ratus lagi penyokong KeADILan di Pulau Pinang dan Pahang akan mengikut tindakan beliau keluar parti dalam tempoh terdekat ini.