Adanya seorang hamba Allah yang mahu dikenali sebagai 'Pengkritik Melayu Yang Sebenar' dari Kuala Pilah, telah menulis sepucuk surat kepada Utusan Malaysia tentang persembahan Instant Caf Theatre (ICT) - The 2nd First Annual Bolehwood Awards: The Director's Cut.

Alkisahnya, persembahan teater ini yang "cemburu dan mengkritik secara berlebihan tentang kemajuan yang dicapai oleh Malaysia" telah amat melukai perasaan wira Melayu sejati ini.

Wira Melayu terakhir ini mengaku bahawa dia sememangnya "berfikiran terbuka" terhadap penampilan isu mak nyah dan pakaian seksi para pelakon, tetapi tidak boleh terus "memekakkan telinga" apabila para pelakon menyentuh isu 'sensitif', iaitu hukum Hudud.

Saya sendiri telah menonton persembahan teater ini dan saya ingin menegaskan di sini bahawa saya langsung tidak bersetuju dengan wira Melayu ini. Pertamanya, ini adalah satu persembahan komedi tentang Malaysia.

Dari segi itu, saya berpendapat bahawa ICT telah berjaya sepenuhnya untuk menggelikan hati para penonton tentang isu-isu yang selalunya dibincang secara serius di negara ini. Itulah objektif sebuah komedi, wahai pengkritik Melayu, dan ICT memang telah berjaya mencapai objektif ini.

Keduanya, saya amat berbesar hati kerana barisan pelakon sememangnya satu kumpulan yang muhibah. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Malah, bilangan pelakun wanita juga mengimbangi bilangan pelakun lelaki.

Juga, gaya pertuturan mereka mencerminkan realiti pertuturan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Lucah? Isu sensitif? Telinga saya lebih berdesing di pejabat saya sendiri apabila mendengar percakapan majikan Melayu saya yang beragama Islam apabila dia membuat andaian-andaian bersifat perkauman terhadap para pekerja yang bukan Islam atau bukan Melayu.

Ketiganya, para pelakon semua nampaknya amat menjiwai watak yang mereka pegang. Walaupun teater ini berbentuk satire, tetapi cara persembahannya langsung tidak memperlekehkan jiwa Malaysia kita.

Malah, jelas kelihatan bahawa para pelakon walaupun menyindir, tetapi menyindir dengan penuh hormat dan kasih sayang. Macam kartun Lat yang saya amat gemari. Tetapi saya akui, jenaka ICT ini lebih bersifat politik daripada kartun Lat.

Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan komen si wira Melayu ini. Bak kata orang putih no sense of humour. Walaupun begitu, saya faham bahawa kita semua mempunyai tahap intelektual yang berbeza, dan saya mengajak si wira Melayu ini untuk membuka mindanya sedikit dengan lebih banyak membaca dan mendalami sejarah perkembangan tanahair kita ini.

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan saya ialah selang sehari selepas munculnya surat wira Melayu ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah "melawat" kru produksi ICT! DBKL telah menuntut pemotongan beberapa babak sekiranya ICT mahu meneruskan persembahannya. Kalau tidak persembahan tersebut akan diharamkan dan ICT akan didenda.

ICT telah akur dengan perintah DBKL ini. Apa nak buat? Artis-artis sejati di Malaysia kena cari makan. Lainlah pula kalau artis-artis ini mengibarkan panji BN secara terang-terangan.

Tetapi inilah yang amat menyedihkan saya. Nampaknya bidang seni di Malaysia hanya akan "maju" sekiranya para penggiat seni mengambil pendirian yang pro-pemerintah. Karya para penggiat seni yang ingin mengkaji isu-isu berat secara kritikal akan terus disaring.

Maka, perkembangan intelektual rakyat Malaysia akan terus terbantut kerana tidak didedahkan kepada perbincangan yang lebih mencabar. Mungkin DBKL dan si pengkritik Melayu ini bukannya tersinggung oleh penampilan isu "sensitif" seperti hukum Hudud oleh ICT, tetapi tidak mahu dicabar tentang realiti kelemahan pelaksanaan dan pempolitikan hukum Hudud yang telah ditonjolkan oleh ICT.

Oleh itu, saya rasa tindakan DBKL ini amatlah mendukacitakan. Kerana ia bermaksud bahawa DBKL tidak mahukan penampilan karya-karya yang bermutu di Kuala Lumpur.

Kenapa, DBKL? Kerana karya-karya ini menyinggung perasaan rakyat Malaysia secara amnya, atau kerana ia menyinggung perasaan sesetengah rakyat Malaysia yang mempunyai kepentingan tersendiri?

Atau kerana karya-karya ini merupakan tuduhan yang tidak berasas, atau kerana ia kena tepat pada sasarannya?

Hujah si pengkritik Melayu seolah-olah hujah orang yang takut menghadapi realiti dunia. Tetapi, tindakan DBKL seolah-olah perbuatan orang bersalah yang cuba menutupi kesalahannya dengan menyerang pihak-pihak yang telah menyaksikan perbuatannya itu.